Nama Dipetik Isu Pelakon Veteran Herdik Guru Vokal, Ogy Ahmad Daud Tampil Bersuara! – “Dia Selamat Selagi Tak Sentuh Nama Saya”

Nama Dipetik Isu Pelakon Veteran Herdik Guru Vokal, Ogy Ahmad Daud Tampil Bersuara! – “Dia Selamat Selagi Tak Sentuh Nama Saya”

Penyanyi dan guru vokal, Adzrin Adzhar sebelum ini mededahkan pernah diherdik  oleh seorang pelakon veteran sehingga namanya digugurkan menjadi tenaga pengajar.

Justeru, bagi menjawab dakwaan tular, pelakon senior yang juga primadona, Fauziah Ahmad Daud menjelaskan, dia bukanlah individu yang dimaksudkan.

Katanya, dia tidak tahu menahu mengenai isu tular tersebut sekaligus menegaskan sekiranya namanya terpalit dengan dakwaan tersebut, maka individu berkenaan harus menyelesaikan isu itu dengan peguamnya.

“Individu itu tak sebut nama saya, netizen sebut. Kalau dia sebut nama saya, peguam saya jawab.

“Saya tidak terbaca isu tersebut, keluar dekat mana pun saya tak tahu. Saya lebih fokus kepada kerja.

“Saya tak tahu guru vokal itu, kalau dia tak sebut nama saya. Berapa ramai guru vokal di Malaysia.

“Saya hanya pernah bertemu dia semasa sidang media Ezad Lazim. Itu sahaja. Tidak pernah bekerjasama.

“Saya tak tahu kenapa netizen petik nama saya, mungkin sebab saya popular,” katanya berseloroh.

Mengulas lanjut mengenai artis veteran yang kini bergelar lima dekad, Fauziah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ogy berkata, ramai lagi artis senior yang kini berusia lima dekad dan itu tidak merujuk kepada dirinya sahaja.

“Artis veteran ramai yang lima dekad, bukan saya seorang. Saya tak ada baca dan terus terang tak pernah bekerjasama dengannya.

“Sekali itu sahaja jumpa. Pernah dengar nama dia. Itu sahaja.

“Asalkan dia tidak menyentuh nama saya, dia berada dalam zon selamat. Kalau tidak, saya akan rujuk peguam untuk selesaikan isu itu,” jelasnya.

Pelakon yang popular menerusi filem Azura itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Asian Pop Star yang diadakan di ASWARA pada Rabu.

Untuk info, Asian Pop Stars adalah sebuah rancangan realiti muzik terbesar Asia yang bakal mencipta fenomena melahirkan bintang bertaraf dunia dari benua Asia dan Malaysia khasnya.

Lebih menarik, bukan hanya pemenang, malah kesemua lapan finalis akan dihantar menjalani persiapan khas di Korea Selatan untuk mengekalkan momentum mereka sebagai bintang selepas pertandingan berakhir.

APS dianjurkan dan diterbitkan buat kali pertama oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM).

Rancangan ini akan memulakan siaran langsungnya pada setiap hari Sabtu malam bermula 29 November 2025 di saluran nasional RTM 2 pada jam 9 malam.

Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang hadiah utama berupawang tunai  USD20,000, piala pusingan dan sijil pengiktirafan.

Scroll to Top