GLASGOW: Bekas ratu boling padang negara, Siti Zalina Ahmad terus mengukir nama di pentas antarabangsa apabila menerima penghormatan istimewa daripada penganjur Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila satu daripada empat gelanggang pertandingan di Scottish Event Campus (SEC) Centre dinamakan sempena nama beliau.
Pengiktirafan itu mencipta sejarah baharu apabila buat julung kalinya dalam temasya Sukan Komanwel, kesemua empat gelanggang pertandingan boling padang dinamakan sempena legenda sukan itu yang pernah mencipta kegemilangan di pentas antarabangsa.
Selain Siti Zalina, tiga lagi tokoh yang menerima penghormatan sama ialah legenda England, David Bryant dan Ellen Falkner, serta ikon Wales, Robert Weale, menerusi kerjasama antara Glasgow 2026 dan World Bowls.
Siti Zalina, 47, yang juga anggota World Bowls Hall of Fame merupakan antara atlet paling berjaya dalam sejarah boling padang Malaysia apabila muncul satu daripada dua wanita yang pernah memenangi dua pingat emas acara perseorangan (singles) di Sukan Komanwel.
Beliau meraih emas sulung dalam acara singles pada Sukan Komanwel Manchester 2002 sebelum mempertahankan gelaran itu di Melbourne 2006, sekali gus meletakkan dirinya dalam kelompok legenda sukan berkenaan.
Jaguh kelahiran Selangor itu kemudian melengkapkan koleksi tiga pingat emas apabila memenangi acara pairs di Gold Coast 2018, selain turut menghadiahkan pingat gangsa dalam acara fours.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos menyaksikan boling padang sekali lagi menjadi sandaran utama kontinjen negara untuk memburu kilauan pingat, dengan penghormatan terhadap Siti Zalina menjadi pembakar semangat buat barisan pemain kebangsaan.-UTUSAN




