hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah dan penyanyi kontroversi Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, dibebaskan dengan jaminan polis berhubung kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di sini bulan lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, pembebasan itu dibuat berikutan tiada sebarang petunjuk kukuh setakat ini yang dapat mengaitkan individu berkenaan secara langsung dengan punca kematian si mati.
“Pihak kami (Jabatan Peguam Negara – AGC) menawarkan jaminan polis. Setakat ini, tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan bahawa dia terbabit dalam kematian si mati.
“Bagaimanapun, siasatan berhubung kes itu masih belum selesai dan sedang giat diteruskan oleh pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Mohd Dusuki turut mengesahkan bahawa arahan untuk siasatan lanjut dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengumpul lebih banyak maklumat dan melengkapkan kertas siasatan.
“Siasatan masih diteruskan dan arahan untuk siasatan lanjut dikeluarkan kepada PDRM,” katanya.
Polis dijangka akan menjalankan siasatan lanjut sebelum sebarang tindakan pendakwaan boleh dipertimbangkan.
Terdahulu, Namewee, 42, tampil menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5 November lalu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Namewee kemudian ditahan reman selama enam hari sebelum disambung tiga hari lagi sehingga tamat reman pada hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan polis menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan, Hsieh Yun Hsin, 33.
Tahanan reman dibuat terhadap Namewee bagi membantu siasatan kes itu berikutan penyanyi terbabit adalah individu terakhir yang dikatakan bersama mangsa.
Pempengaruh itu ditemukan mati di dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay di sini, pada 22 Oktober lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




