Namibia juara hoki Piala Sultan Nazrin Shah

Namibia juara hoki Piala Sultan Nazrin Shah

IPOH: Namibia muncul juara pertama kejohanan hoki dalam dewan Jemputan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah apabila mengatasi Afrika Selatan 3-2 melalui penentuan penalti di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Perlawanan terpaksa diputuskan melalui penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat permainan sebenar.

Dalam aksi penentuan itu, pemain Afrika Selatan, Keegan Hezlett gagal menyempurnakan peluang membolehkan Namibia menoktahkan kemenangan.

Dalam perlawanan yang disaksikan Raja Permaisuri Perak itu, Namibia mendahului 2-0 pada waktu rehat melalui jaringan Fagan Hansen dan Brynn Cleak pada minit ke-10 dan ke-17.

Bagaimanapun Afrika Selatan bangkit dalam babak kedua untuk memadam kelebihan Namibia.

Hezlett menyemarak semangat juang rakan sepasukan apabila menyumbat gol dari pukulan sudut penalti pada minit ke-26.

Kapten, Jethro Eustice menjaringkan gol penyamaan untuk memaksa perlawanan diputuskan melalui penalti. – UTUSAN