Sering muncul dengan konten usik-mengusik di media sosial, pelakon, Reen Rahim sedar ada sesetengah pihak yang kurang senang melihat dirinya bergurau kasar dengan suami, Ahmad Nur Hazim Zainal.
Namun, tidak bermakna gurauan tersebut membuatkan pelakon drama bersiri Pujaan Hati Kanda lupa akan batasnya sebagai seorang isteri.
“Itu cara kami bergurau. Kadang-kadang nampak kasar sebab perkara itu berlaku secara spontan. Tapi suami saya tahu hati saya macam mana, dan kami dua-dua memang suka saling mengusik.
“Saya tidak ambil hati pun jika ada yang berfikir sebegitu. Memang kami jenis yang selesa bergurau seperti itu tetapi kami tahu batas. Apa yang orang nampak kat media sosial cuma sebahagian kecil dari hari-hari kami.
“Yang penting, antara kami tiada yang terasa atau simpan hati. Kami hormat dan sayang satu sama lain, walaupun kadang nampak macam ‘berperang’ depan kamera,” kongsinya.
Terkenal dengan perwatakannya yang bersahaja, tenang dan ceria, Reen mengakui dirinya tetap mengutamakan privasi dan keluarga meskipun dihimpit dengan dunia glamor hanya kerana dia seorang pelakon.
“Saya suka ketawa, sangat mementingkan keluarga, dan sangat menghargai masa privasi. Dunia glamor itu hanya sebahagian kerja. Tetapi apabila di rumah, saya adalah isteri, anak, kawan, seorang wanita biasa yang juga ada emosi dan cabaran sendiri.
“Tidak dinafikan kemenangan saya sewaktu menyertai program realiti, Pilih Kasih suatu ketika dahulu membawa perubahan yang besar dalam hidup saya dalam dunia seni.
“Namun, selepas saya cuba beranikan diri untuk keluar dari zon selesa dengan menceburi bidang perniagaan, perkara itu berjaya mengubah cara pemikiran saya sebagai seorang artis dan wanita,” ujarnya.
ZURIAT? INSYA-ALLAH
Sudah menjadi lumrah setiap pasangan yang sudah berumah tangga mahu memiliki zuriat sebagai penyeri hidup bersama. Namun, perkara itu bukanlah semudah memetik jari atau sebut sahaja dan terus memilikinya.
Hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga, pelakon itu tidak terburu-buru untuk memiliki zuriat sebaliknya menyerahkan segala perancangan itu kepada Sang Pencipta.
Kata pemilik nama penuh Noreen Ashikin Abdul Rahim, dia mahu menggunakan peluang yang ada ini untuk lebih mengenali setiap sisi peribadi suami tercinta.
“InsyaAllah, itu semua perancangan Allah. Kalau diberi rezeki, pastilah kami terima dengan hati yang terbuka dan penuh kesyukuran.
“Buat masa sekarang, kami nikmati dulu masa berdua, saling kenal mengenali lebih dalam, dan teruskan doa agar satu hari nanti ada rezeki menimang cahaya mata,” katanya.
Tambah pelakon berusia 37 tahun itu, sejak berkahwin banyak perkara yang telah mengajar dirinya untuk menjadi insan yang lebih baik demi orang yang tersayang apatah lagi mengenali erti berkompromi dan menjaga hati pasangan
CABARAN PERNIAGAAN
Menerima Anugerah Perniagaan Cemerlang Tahunan 2025 sempena Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2025 baru-baru ini, Reen berkata, usahanya dalam membangunkan jenama Reen Rahim Hygiene Wash berbaloi.
Katanya, cabaran paling besar yang dihadapi adalah mendapatkan kepercayaan orang
“Bila orang tahu kita artis, ada yang fikir kita buat produk sebab ikut trend.
“Tapi bagi Reen, setiap produk yang Reen keluarkan, ada kisah dan research yang panjang. Kena kerja dua kali ganda untuk buktikan keikhlasan dan kualiti.
“Alhamdulillah, bila pelanggan sudah cuba, mereka faham nilai kualiti dan fungsi sebenar produk keluaran saya,” ujarnya.