Nana nafi bakal akhiri zaman solo

Nana nafi bakal akhiri zaman solo

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana menyangkal dakwaan dirinya bakal menamatkan zaman solo selepas hampir 15 tahun bergelar ibu tunggal susulan tular foto dirinya mengenakan gaun perkahwinan di media sosial baru-baru ini.

Siti Nordiana atau mesra disapa Nana berkata, dia memohon maaf sekiranya ada pihak salah faham dan menyangka dia bakal berkahwin.

Katanya, foto yang tular itu adalah sesi fotografi khas sempena konsert solo yang bakal diadakan tahun ini. “Saya memohon maaf jika ada pihak yang salah faham dan menyangka saya akan mendirikan rumah tangga selepas tersebarnya foto berbusana pengantin baru-baru ini.

“Sebenarnya fotografi itu diadakan khusus untuk acara istimewa sempena konsert solo saya sempena 25 tahun pembabitan dalam industri seni.

“Saya memilih tema perkahwinan ini kerana ia ibarat ulang tahun perkahwinan saya bersama peminat. Jadi saya nak realisasikan impian yang sudah lama kami nantikan,” katanya.

Menurut Nana, dia tidak sabar untuk meraikan detik terindah dalam hidupnya pada konsert solo Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun yang bakal berlangsung pada 11 Mei depan di Zepp Kuala Lumpur.

“Saya rasa macam tak percaya selepas 25 tahun dalam industri seni, saya dapat mengadakan konsert solo berskala besar.

“Tak sabar untuk berkongsi momen indah ini dengan peminat. Konsert ini juga bakal menggamit memori peminat yang meminati lagu-lagu yang saya sampaikan.

“Konsert ini adalah hadiah untuk peminat yang tidak jemu mengikuti karier saya sejak 25 tahun lalu,” katanya.

Tiket Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun yang dianjurkan Icon Entertainment bakal mula dijual bermula Jumaat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top