am@hmetro.com.my
Sabak Bernam: “Nanti dah mati ringan sikit timbangan dosa aku. Kita ni manusia, tak lari dari buat dosa.” Itu mesej terakhir Muhammad Daniel Asyrafi Iqbal Omar, 20 kepada abang sulungnya sebelum dia meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Bendang, Parit 4, Sungai Besar, di sini.
Turut maut dalam nahas kira-kira 4 petang semalam itu, adik lelakinya, Muhammad Naufal Iqram Iskandar, 15.
Kejadian apabila Proton Wira dinaiki dua beradik itu hilang kawalan dan terbabas lalu termasuk ke dalam parit berair (terusan utama) di sebelah kanan jalan.
Bapa mereka, Iskandar Dahlan, 42, berkata, dia mengetahui tragedi itu selepas Muhammad Daniel menghubungi ibunya, Nazirah Salim Chia, 39, yang memaklumkan kereta dinaiki terjatuh ke dalam parit.
“Isteri menjadi tidak keruan sebelum panggilan telefon putus. Tidak lama selepas itu, saya telefon Muhammad Naufal dan tanya mereka di mana.
“Muhammad Naufal cakap ‘Tolong Abi’ sebanyak dua kali sebelum panggilan terhenti.
“Pada masa sama, salah seorang ahli keluarga saya menggunakan penjejak lokasi masa sebenar (live location) yang kebetulan tersambung dengan telefon Muhammad Daniel.
“Tidak sangka GPS terakhir menunjukkan dua beradik ini berada dalam parit sedangkan orang sekeliling puas mencari,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, di sini, malam tadi.
Peniaga makanan dan minuman itu berkata, dia dan tiga rakannya kemudian bergegas ke lokasi dan terjun ke dalam parit untuk mencari Muhammad Daniel dan Muhammad Naufal.
“Air parit yang terlalu dalam dengan arus laju menyukarkan pencarian, namun seorang rakan berjaya menarik Muhammad Naufal ke atas.
“Pada masa sama, Muhammad Daniel tidak dijumpai dan kami ingat dalam kereta. Apabila kereta ditarik keluar dari parit, rupanya dia sudah hanyut ke depan,” katanya.
Iskandar berkata, sebelum kejadian, dua beradik itu mengendalikan katering miliknya di Tanjong Karang dan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bagan Tunjang, Sabak Bernam.
Katanya, kedua-duanya tidak menunjukkan sebarang petanda pelik kecuali Muhammad Naufal yang sering tidur di ruang tamu seorang diri sejak kebelakangan ini.
“Sepatutnya esok kami akan mandi-manda di air terjun Kalumpang, Hulu Selangor sambil meraikan hari lahir Muhammad Daniel dan bapa saudaranya.
“Walaupun Muhammad Daniel anak tiri, dia rapat dengan saya. Begitu juga dengan Muhammad Naufal. Mereka anak yang baik dan tidak pernah minta yang bukan-bukan,” katanya.
Iskandar berkata, jenazah dua beradik itu dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan, Sungai Besar sebaik proses bedah siasat selesai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




