Miami: Juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pemain kelayakan dari Ukraine, Yuliia Starodubtseva, 3-6, 6-4, 6-3, sekali gus mara ke pusingan kedua Terbuka Miami, semalam.
Bintang Jepun itu meraih kemenangan pertamanya sejak mara ke pusingan ketiga Terbuka Australia apabila dia terpaksa menarik diri akibat kecederaan abdomen ketika ketinggalan kepada Belinda Bencic.
Naomi bangkit daripada kekalahan pusingan pertama kepada Camila Osorio di Indian Wells, satu perlawanan yang digelarnya sebagai perlawanan paling teruk yang pernah dia beraksi dalam hidupnya.
Semalam, dia mengakui belajar daripada persembahan mengecewakan itu.
“Di Indian Wells, saya terlalu banyak memukul bola secara berlebihan, jadi kali ini saya cuba menggunakan kaki saya lebih banyak,” katanya.
“Saya bersedia untuk berlari ke setiap sudut jika perlu dan jika dia mahu kalahkan saya, kami perlu bermain selama tiga jam.”
Bagaimanapun, Naomi menamatkan perlawanan dalam masa dua jam 28 minit, selepas ketinggalan lima perlawanan pertama.
Yuliia mendahului 4-2 dalam set kedua, tetapi 10 ace daripada Naomi membantunya bangkit dan dia mengawal set ketiga untuk memulakan usahanya meraih gelaran pertama di bandar yang dianggapnya sebagai rumahnya di Amerika Syarikat (AS).
Naomi sebelum ini pernah menjadi naib juara di Terbuka Miami 2022 selepas tewas kepada Iga Swiatek.
Di pusingan seterusnya, Naomi akan berdepan pilihan ke-24, Liudmila Samsonova.
Pemain berusia 27 tahun itu masih berusaha kembali ke prestasi terbaiknya selepas berehat selama 15 bulan selepas melahirkan anak perempuannya, Shai, pada 2023.
Musimnya bermula dengan baik apabila mara ke final pertamanya sejak 2022 di Auckland, namun dia terpaksa menarik diri akibat kecederaan abdomen ketika mendahului perlawanan itu dan kemudian terpaksa menarik diri daripada Terbuka Australia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




