Napie Spider selamat jalani pembedahan

Napie Spider selamat jalani pembedahan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain gitar kumpulan Spider, Hanafi Hamdan atau Napie selamat menjalani pembedahan di Hospital Sungai Buloh (HSB), kira-kira jam 9 pagi, hari ini.

Penyanyinya, Tam berkata, Napie yang diserang angin ahmar, Selasa lalu sudah dipindahkan ke wad pengasingan di hospital berkenaan.

“Alhamdulillah, Napie sudah selamat menjalani pembedahan pagi tadi dan kini sudah ditempatkan di wad. Dia juga sudah boleh menerima pelawat,” katanya kepada Harian Metro.

Napie dikejarkan ke HSB malam Selasa lalu akibat diserang angin ahmar ketika sedang bekerja di Studio Luncai Emas.

Menurut isterinya, Nor Rasidah, ketika itu Napie yang juga jurutera bunyi di studio terbabit sedang melakukan kerjanya sambil ditemani anak Datuk M Nasir iaitu Hidayat.

Sementara itu, Tam turut memohon peminat dan orang ramai membuat sedikit sumbangan bagi meringankan beban isteri dan anak-anak Napie.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank, 162740023315 di atas nama Nor Rasidah Said.

“Moga Allah jua yang membalas amal kita bersama, Insya-Allah, terima kasih,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top