Napoli bergelut, Inter sasar lonjakan ke puncak Serie A

Napoli bergelut, Inter sasar lonjakan ke puncak Serie A

Rom: Juara bertahan Serie A, Napoli, kini berdepan laluan berliku apabila bakal menerima kunjungan Inter Milan yang semakin menunjukkan kebangkitan selepas permulaan musim yang goyah.

Selepas dimalukan 2-6 oleh PSV Eindhoven dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), skuad kendalian Antonio Conte itu kini cuba bangkit dalam aksi getir di Naples, Ahad ini, menentang Inter yang semakin konsisten dengan empat kemenangan berturut-turut.

Dalam saingan domestik, kedua-dua pasukan berada di arah bertentangan, Inter yang tewas dua daripada tiga aksi pertama kini kembali bersaing rapat di kelompok teratas, manakala Napoli yang bermula dengan empat kemenangan mula hilang taring selepas tewas dua daripada tiga perlawanan terakhir Serie A.

AC Milan mendahului carta dengan 16 mata sebelum berdepan kelab tercorot Pisa, manakala Inter, Napoli dan Roma berkongsi 15 mata, dengan Roma akan bertandang ke Sassuolo pada Ahad.

Conte mengakui musim ini jauh lebih mencabar berbanding kempen kejuaraan mereka tahun lalu, terutama selepas perlu membahagikan fokus antara aksi Eropah dan liga tempatan.

“Tahun ini kami terpaksa membawa masuk ramai pemain baharu, sembilan semuanya. Bagi saya, itu terlalu banyak,” kata Conte selepas kekalahan di Eindhoven.

“Menyesuaikan sembilan pemain dengan cara dan mentaliti baharu bukan tugas mudah, tetapi kami tidak mempunyai pilihan lain. Saya sudah menjangka musim ini akan lebih rumit.”

Napoli kehilangan kedudukan pendahulu selepas tewas 0-1 kepada Torino minggu lalu, namun dijangka menurunkan semula Scott McTominay dan Rasmus Hojlund yang kembali cergas selepas diketepikan sebelum ini.

Di kem Inter, penyerang Marcus Thuram masih belum cergas sepenuhnya, manakala jurulatih Cristian Chivu dijangka mengekalkan gandingan Ange-Yoan Bonny bersama Lautaro Martinez selepas pemain muda itu menjaringkan gol kemenangan menewaskan Roma minggu lalu.

Francesco Pio Esposito, 20, turut menuntut tempat dalam kesebelasan utama selepas meledak gol pertamanya dalam UCL pertengahan minggu ini, hasil umpanan Bonny.

Sementara itu, Juventus kendalian Igor Tudor semakin tertekan selepas dua kekalahan berturut-turut, 0-2 kepada Como dalam liga dan 0-1 kepada Real Madrid dalam UCL.

Walaupun sebelum ini mencatat rekod tanpa kalah, lima keputusan seri berturut-turut menunjukkan prestasi tidak menentu skuad Bianconeri yang kini di tangga ketujuh, empat mata di belakang Milan.

Juve akan bertandang ke gelanggang Lazio pada Isnin, manakala Milan dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Pisa yang masih tercari-cari kemenangan pertama musim ini.

Roma pula mahu bangkit selepas kekalahan kepada Inter, namun berdepan tugas sukar menentang Sassuolo yang kini tidak tewas dalam tiga perlawanan terakhir dan berada di tangga kesembilan liga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top