Naqiu doa Alexander anak autisme pandai urus diri

Naqiu doa Alexander anak autisme pandai urus diri

Kuala Lumpur : Penyanyi Naqiu mengakui sukar membayangkan bagaimana anak keempat yang mengalami autisme, Wan Alexander Putra, 12, mampu menguruskan diri jika dia dan isteri sudah tiada lagi.

Meluahkan emosi, Naqiu mengakui sangat takut memikirkan bagaimana Alexander dilayan jika dia sebagai bapa, sudah tiada lagi di dunia ini.

Sehubungan itu, Naqiu rela anaknya itu pergi dahulu daripadanya dan dia menanggung sakit, berbanding Alexander ‘sakit’ tanpa dirinya.

“Saya sedar tidak sepatutnya saya cakap macam ini. Tetapi, jujur, saya mengharapkan Alexander pergi dahulu supaya dia tidak rasa macam mana kehidupan tanpa mama dan papa.

“Saya tidak pernah cakap perkara ini kepada isteri. tetapi kalau dia tengok (rakaman podcast ini), saya minta maaf. Jauh di lubuk hati saya mengharap dia (Alexander) pergi dahulu sebelum saya.

“Saya tidak tahu bagaimana orang akan layan Alexander andai saya tidak ada lagi. Itu perkara yang saya sangat-sangat takut,” katanya dalam linangan air mata.

Luahan menyayat hati itu dibuat Naqiy yang juga bekas anggota kumpulan Boboy, pada sesi temubual bersama Datuk Aznil Nawawi di saluran audio siar Kita Kita Aje.

Bagaimanapun, Naqiu berkata, andai doanyatidak ditunaikan, dia yakin anak sulung dan cahaya mata kedua mampu menjaga Alexander dengan baik selepas diamanahkan.

“Saya cakap dengan anak-anak, umur saya dan mama makin lanjut. Jadi, saya tidak tahu berapa lama lagi kami boleh hidup.

“Saya sudah pesan jika papa dan mama pergi dahulu, papa letakkan tanggungjawab itu kepada abang dan kakak untuk jaga Alexander sampai mereka kahwin dan tua.

“Tetapi, jika ditakdirkan umur saya dan isteri panjang, jangan risau kami tidak akan susahkan mereka. Kami akan jaga Alexander… Itu janji kami,” katanya.

Naqiu juga berharap Alexander pandai bercakap dan menguruskan diri.

“Setiap hari saya dan isteri berharap anak boleh bercakap. Kami juga berharap sekurang-kurangnya Alexander boleh uruskan diri.

“Itu sahaja yang kami minta pada Allah. Kami tidak minta dia jadi pandai. Kami hendak dia tahu uruskan diri kerana risau jika kami tiada nanti,” katanya.

Alexander disahkan autisme ketika usianya menginjak lima tahun. Selain Alexander, Naqiu yang berkahwin dengan Hanisah Zuhari pada 2010, dikurniakan lima lagi cahaya mata iaitu Wan Ratna Putri, 14, Wan Daniel Iman, 13, Wan Esyana Alicia, 11, Wan Danish Aydin, 8, dan anak bongsu perempuan berusia tiga tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top