norhayati_nordin@hmetro.com.my
WALAUPUN sudah aktif dalam kerjaya nyanyian sejak 2001 sebagai penyanyi kumpulan Boboy, namun Naqiu, 38, juga pernah hilang dari radar industri agak lama selepas hidup berkeluarga.
Cuma, pada 2019 iaitu kira-kira 13 tahun selepas ‘menyepi diri’ sejak 2005, Naqiu kembali semula ke dunia seni dengan menyertai program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6) dan muncul juara.
Kini sesudah enam tahun berlalu, Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib mengakui kehadiran semulanya adalah keputusan tepat apabila diterima baik peminat sampai sekarang.
Bertemu bapa enam cahaya mata itu baru-baru ini, dia sangat berterima kasih dengan syarikat pengurusan bakat yang dinaunginya iaitu MindOrder Management Sdn Bhd.
“Alhamdulillah, karier nyanyian solo saya sehingga kini masih berjalan lancar dengan tawaran persembahan yang tidak putus diterima, termasuk dalam bidang lakonan juga.
“Terus terang saya katakan, bernaung di bawah pihak pengurusan seperti MindOrder sejak enam tahun lalu tidak membuat saya terfikir untuk ‘berubah angin’ diuruskan syarikat lain.
“Saya akan setia dengan pihak pengurusan ini walaupun ada segelintir netizen di media sosial menggelarkan saya ‘bagai lembu dicucuk hidung’ selepas kes saman dibuat terhadap seorang individu.
“Memang nampak daripada kes penipuan individu itu babitkan kerugian hampir RM100,000 kepada pihak pengurusan, namun ia juga tetap ada kaitannya dengan nama baik serta reputasi saya,” katanya.
Naqiu mendakwa, nama dan khidmatnya digunakan individu terbabit yang juga sahabat dikenalinya untuk beberapa projek lagu dihasilkan, namun tidak membayar titik peluhnya itu.
“Sebenarnya geram juga bila ada segelintir netizen yang gelarkan saya begitu (bagai lembu dicucuk hidung). Tapi, biarkan sebab itu hak mereka juga untuk nak cakap apa-apa pun.
“Lagipun, mereka tidak duduk di tempat saya dan tidak tahu kisah sebenar secara terperinci. Jadi, saya serahkan semua pada undang-undang dengan kes saman itu yang masih berjalan.
“Negara ini ada undang-undangnya dan saya yakin dengan sistem perundangan kita. Bagi saya, kalau semua bukti sudah ada, maka biar hakim di mahkamah yang tentukan keputusan nanti,” katanya.
Terdahulu, Naqiu memberitahu dia menolak cadangan untuk mediasi yang ingin dilakukan individu didakwa menipunya dan pihak pengurusan, MindOrder itu yang kini kes dalam perbicaraan.
Pada Januari lalu, Naqiu tampil mendedahkan dia mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu didakwa menipu hingga menyebabkannya kerugian hampir RM100,000.
Menerusi peguam dilantik Naqiu iaitu Aizat Azam dari Tetuan Legalais memberitahu individu berkenaan mendakwa sudah membuat bayaran penuh untuk projek lagu dihasilkan, namun perkara itu tidak benar.
Boboy direhatkan seketika
Persahabatan baik yang dijalin lebih dua dekad dengan anggota Boboy dan masih utuh hingga kini, membuatkan kumpulan itu tidak berpecah, tetapi hanya direhatkan seketika.
Menurut Naqiu, ia berikutan salah seorang sahabatnya dalam Boboy tidak dapat memberi komitmen kerana menjaga isteri yang hamil anak ke-10 dan situasi dialami itu sangat difahami.
“Jadi, kami semua sepakat untuk Boboy rehat seketika pada tahun ini. Insya-Allah muncul semula mungkin tahun depan selepas segala urusan peribadi masing-masing selesai.
“Apatah lagi, kalau nak diikutkan saya seorang saja yang aktif dalam kerjaya seni, manakala rakan-rakan lain dalam Boboy mempunyai kerjaya tetap dan saya hormati pilihan mereka.
“Bagaimanapun, yang penting minat kami semua dalam seni tidak pernah pudar, termasuk ‘menguburkan’ Boboy. Pada saya sendiri, segala urusan boleh dibawa berbincang untuk keputusan yang sepakat,” katanya.
Selain Naqiu, kumpulan Boboy dianggotai Muz sebagai pemain gitar, Didie (bass), Zul (dram) dan Shah (gitar).
Mereka popular dengan lagu seperti Demi Masa, Janji Seorang Kekasih, Cinta Melayang Layang, Dalam Benci Ada Rindu, Berakhinya Episod Cinta dan lagu baru, Tetap Bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd