'Naruto' cambah minat

'Naruto' cambah minat

nurul_husna@mediaprima.com.my

BERMULA dengan anime (animasi Jepun), Alia Abdullah, 33, mula tertarik untuk menguasai bahasa negara matahari terbit itu.

Pensyarah Bahasa Jepun Universiti Malaya (UM) itu mengakui keinginan menguasai bahasa itu semakin melonjak apabila berpeluang mengikuti program pertukaran pelajar di bawah Lion Club selama tiga minggu di Osaka.

“Saya terpengaruh dengan abang yang obses dengan animasi popular, Naruto. Memang pada zaman itu animasi ini menggabungkan elemen ninja dan persahabatan banyak mempengaruhi saya untuk mempelajari bahasanya.

“Pada saya apabila menguasai atau mempelajari bahasa Jepun baru dapat mendalami budaya serta peradaban masyarakatnya.

“Jepun sangat unik kerana masih mengekalkan budaya dan amalan tradisi selain elemen itu banyak dimasukkan dalam animasi mereka.

“Membuatkan saya lebih tekad adalah apabila mengikuti program pertukaran pelajar selama tiga minggu di Osaka iaitu bandar kedua terbesar di negara matahari terbit itu.

“Saya yang ketika itu berusia 17 tahun tinggal bersama keluarga angkat dan mengikuti program mengenali budaya setempat,” katanya.

Meskipun mengambil aliran sains ketika menyambung pengajian peringkat asasi di Pusat Asasi Sains, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor pada 2010 dan 2011, itu tidak mengubah tekadnya dalam penguasaan bahasa Jepun.

“Minat untuk mempelajari bahasa Jepun sudah lama tertanam dan saya tekad mengikuti pengajian bahasa Jepun di peringkat ijazah sarjana muda ketika menyambung pengajian di UM.

“Saya tertarik mempelajari bahasa itu kerana ingin mengenali budaya dan peradaban orang Jepun yang cukup terkenal dengan disiplin tinggi,” katanya.

Tambah anak jati Kota Bharu, Kelantan itu, perjalanan meneruskan pengajian dalam bahasa Jepun turut direstui ibu bapanya yang sedia memahami minatnya sejak dulu.

“Saya tidak rasa pengajian bahasa seperti bahasa Jepun semestinya menjanjikan karier dalam bidang pendidikan atau berkaitan linguistik sahaja.

“Pengalaman sendiri penguasaan bahasa asing membolehkan transisi perjalanan dari dunia pelajar kepada alam pekerjaan sangat pantas.

“Saya belum habis belajar lagi sudah terima tawaran kerja daripada beberapa syarikat di Jepun.

“Syarikat atau organisasi di sana sangat meraikan orang luar macam saya yang dapat menguasai bahasa Jepun,” katanya.

Menariknya kerjaya pertama Alia bermula di Jepun dan kenangan bekerja di negara matahari terbit itu membuatkannya terbiasa dengan budaya dan etika di sana.

“Memang ada jurang dari segi budaya kerja orang Jepun dengan rakyat kita. Mereka sangat berdisiplin selain menekankan soal adab.

“Satu pengalaman unik yang saya boleh kongsikan ialah budaya mengucapkan terima kasih atas kebaikan atau penerimaan penghargaan daripada orang atasan begitu sinonim dengan masyarakatnya.

“Saya ditegur kerana ‘tidak cukup’ mengucapkan terima kasih kepada bos. Ketika itu saya baru pertama kali masuk dan bekerja dalam syarikat Jepun.

“Rupanya dalam budaya mereka apabila bos belanja makan kena zahirkan rasa terima kasih dalam tiga keadaan.

“Saya tidak faham mengenai budaya itu dan rakan sekerja menjelaskan saya perlu ucap terima kasih sebanyak tiga kali di tiga ‘setting’ berlainan.

“Malah saya perlu berterima kasih selepas makan di restoran bersama bos, disusuli dengan e-mel atau mesej kepada bos sebagai tanda formal dan sekali lagi ketika bertemu di tempat kerja keesokan harinya.

“Apabila saya gagal berbuat sedemikian, tanggapan mereka saya kurang sopan,” katanya.

Pengalaman seperti itu sangat dihargai Alia supaya dapat memahami budaya setempat.

“Pendedahan itu membuatkan saya lebih dekat dan memahami budaya mereka. Hal itu juga dikongsikan bersama pelajar saya.

“Saya melihat peranan selain mengajar bahasa, tugas saya juga menjadi orang tengah yang menyatukan rakyat tempatan yang mahu membina kerjaya di Jepun lebih peka dengan budaya kerja masyarakat di sana,” katanya.

Lebih membanggakan, pensyarah itu pernah terbabit dalam projek penting membabitkan syarikat pengiklanan di Jepun menerusi kempen Olimpik Tokyo 2020.

Malah menerusi bahasa Jepun, Alia ditemukan dengan pasangannya, Ogata Jun.

“Alhamdulillah jodoh saya dengan suami yang orang Jepun. Tetapi, minat suami pula ialah mendalami bahasa Melayu.

“Dia pula jatuh cinta dengan Malaysia sehingga sanggup menetap dan tinggal di sini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top