Pelakon Nas-T berkongsi pengalaman menyentuh hati apabila mengakui sambutan Aidilfitri sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak lagi sama selepas kehilangan insan tersayang.
Katanya ketika ditemui XTRA, tiga tahun lalu menjadi tempoh yang agak sukar untuknya apabila dia terpaksa menyambut Hari Raya tanpa kehadiran Allahyarham ayah dan adiknya.
“Pengalaman yang menyedihkan untuk saya sejak tiga tahun ni adalah saya beraya tanpa susuk seorang ayah dan arwah adik.
“Memang tak sama, saya pun hanya beraya dengan mak dan dua orang adik saya. Dan bila fikir balik keluarga kami tinggal ini sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, Nas-T atau nama lengkapnya, Nas Muammar Zar, 42, bersyukur kerana masih mempunyai ahli keluarga lain yang juga tinggal berdekatan kediamannya sekali gus ia sedikit sebanyak memberikan sokongan moral kepada keluarganya ketika sambutan Aidilfitri.
“Tapi apa yang menyeronokkan masih ada ahli keluarga yang lain, lagipun mereka tinggal berdekatan. Jadi masih ada moral support lah.
“Dan yang happy pula sebab dapat jumpa ahli keluarga yang lain. Perasaanya macam ‘kan best kalau semua ada’,” kongsinya.

Nas-T berkata demikian ketika ditemui pada program CSR bOh Kasih Clorox yang didakan di Rumah Amal Asnaf Al-Barakh Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, suami kepada personaliti media sosial, Atita Haris ini turut berkongsi tradisi keluarga mereka setiap kali menjelanganya sambutan Aidilfitri.
Jelasnya, mereka sekeluarga akan mengenakan pakaian sedondon sepertimana kebanyakan orang lain.
“Macam family kecil kami ni, baju Melayu memang kena warna sama.
“Jadi bila beraya dengan orang lain, mereka akan tahu kita satu group family. Walaupun dua tahun ni dah tak macam tu lagi,” katanya lagi.

Ketika disoal mengenai pengertian Hari Raya, teraju utama filem Kluang Man ini berkata, Aidilfitri membawa makna kemenangan selepas umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan selama sebulan.
“Pengertian raya adalah kemenangan untuk kita semau selepas 30 hari kita menjaga mental kita dan Raya adalah kemenangan kerana kita dapat sambut bersama-sama dengan keluarga dan menikmati kehidupan dan rasa kasih sayang tu juga,” ujarnya.




