NASA tangguh penerbangan Ingenuity di Marikh

WASHINGTON: Penerbangan pertama helikopter robotik Ingenuity milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) di Marikh terpaksa ditangguhkan beberapa hari lagi.

NASA berkata, penangguhan itu terpaksa dilakukan selepas terdapat beberapa isu teknikal ketika melakukan ujian pada rotor helikopter ringan berkenaan.

Katanya, ujian terhadap rotor helikopter seberat 1.8 kilogram kelmarin terpaksa dihentikan lebih awal berbanding tempoh ditetapkan berikutan masalah yang timbul.

“Pasukan kami sedang melakukan siasatan dan kajian untuk memahami isu yang timbul. Susulan daripada itu, mereka akan menetapkan semua tarikh untuk penerbangan,” kata NASA dalam kenyataan.

NASA mengesahkan, helikopter terbabit berada dalam keadaan baik dan turut menghantar maklumat ke bumi.

Berdasarkan rancangan awal, helikopter itu dijadualkan melakukan penerbangan pertamanya selama 30 saat dan akan mengambil gambar kenderaan Perseverance yang mendarat di planet berkenaan pada 18 Februari lalu.

NASA turut menyifatkan operasi helikopter terbabit amat berisiko, namun ia amat membantu dalam mendapatkan maklumat lanjut berhubung persekitaran planet berkenaan.

Penerbangan itu juga memberi cabaran besar kerana faktor atmosfera di Marikh lebih nipis, iaitu kurang satu peratus berbanding bumi.

Ini bermakna, bilah rotor helikopter terbabit perlu berpusing lebih laju berbanding kelajuannya di bumi bagi membolehkannya terbang.

Sebaik saja penerbangan dilakukan, helikopter terbabit akan menghantar maklumat teknikal kepada kenderaan Perseverance sebelum disalurkan ke bumi. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd