Nasha Aziz sudah tidak ingin lagi berlakon?

Nasha Aziz sudah tidak ingin lagi berlakon?

Cik Bunga dengar-dengar, pelakon jelita yang satu ketika dulu jadi kegilaan ramai, Nasha Aziz, dikatakan ada meluahkan hasrat untuk tidak lagi aktif dalam dunia lakonan.

Khabarnya, kenyataan itu bukan dibuat dalam mana-mana sidang media rasmi, tapi secara santai ketika sesi live di TikTok. Biasalah, zaman sekarang, banyak benda ‘terlepas cakap’ masa live. Jadi, ada yang sempat tangkap ayat Nasha yang seakan memberi bayangan dia mahu berhenti berlakon.

Cik Bunga pun tertanya-tanya, betulkah keputusan itu muktamad atau sekadar luahan spontan?

Khabarnya, antara sebab utama yang dikatakan mendorong Nasha membuat keputusan itu adalah kerana dia mahu memberi sepenuh perhatian kepada perniagaan produk yang sedang dibangunkannya.

Begitulah kalau namanya wanita bekerjaya. Tapi kalau betul Nasha mahu tinggalkan dunia seni, memang satu kehilangan besar!

Bukan apa, lakonannya bukan calang-calang. Bukan setakat cantik, tapi ada aura dan jiwa dalam setiap watak.

Sampai sekarang, ramai masih terkenang lakonannya dalam filem Bara dan juga Laila Isabella. Dua karya yang cukup meninggalkan kesan, dan bukti bahawa Nasha memang ada kelas tersendiri.

Sebab itu, apabila timbul cerita dia hendak berhenti, ramai yang mula meluahkan rasa sedih. Kata mereka, pelakon seperti Nasha bukan mudah hendak dicari ganti.

Namun begitu, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada tuan empunya badan. Jadi, sama ada ini benar-benar keputusan besar atau sekadar salah faham daripada potongan kata dalam live, kita pun tidak pasti.

Cik Bunga cuma harap, kalau pun benar dia mahu memperlahankan langkah dalam lakonan, janganlah terus hilang dari radar. Sesekali muncul pun jadilah.

Scroll to Top