Nashkay 'keluar' zon selesa, cetus kelainan menerusi Rela Lepaskan

Nashkay 'keluar' zon selesa, cetus kelainan menerusi Rela Lepaskan

Kuala Lumpur : Dunia digital yang membina namanya sebagai pempengaruh tidak menghalang Nashkay untuk menguji bakat dalam industri muzik tanah air menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul Rela Lepaskan.

Lagu nyanyian duet bersama Aseng AXA Band hasil ciptaan komposer Faez Jantan dan susunan muzik oleh Afiq Bruno itu membawa mesej mendalam mengenai perpisahan, penerimaan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan.

Nashkay berkata, dia terbuka hati merakamkan karya berkenaan berikutan penceritaan yang dibawakan dekat dengan emosi serta pengalaman kehidupan setiap individu.

“Ketika pertama kali mendengar lagu ini, saya rasa mesejnya cukup dekat. Setiap orang pasti melalui pelbagai dugaan yang mengajar tentang penerimaan dan bagaimana untuk terus melangkah.

“Muzik adalah medium terbaik untuk menyampaikan perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

“Namun, pembabitan ini tidak bermakna saya meninggalkan dunia digital sebaliknya ia satu peluang meneroka kreativiti baharu,” katanya.

Mengulas penampilan sebagai penyanyi, Nashkay sedar populariti dan jumlah pengikut di media sosial semata-mata tidak menjamin penerimaan khalayak sekiranya karya yang dihasilkan tidak berkualiti.

“Populariti mungkin titik permulaan, tetapi kekuatan lagu dan kesungguhan dalam menyampaikan karya tetap faktor utama untuk kekal relevan dalam industri seni,” jelasnya.

Single Rela Lepaskan terbitan Awal Muzik Entertainment kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala video muziknya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi syarikat rakaman berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top