am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Sempat berpaut pada tebing dan pokok besar ketika tragedi kepala air berlaku di Lembah Maksina, Sungai Makuou, Tungku di sini.
Itu yang diberitahu seorang daripada 12 mangsa yang terselamat dalam tragedi berkenaan, semalam. Insiden itu mengorbankan tiga orang.
Muhammad Azman Hamzah, 26, berkata, kejadian itu berlaku sangat cepat dan mereka sukar menyelamatkan diri disebabkan arus deras sungai.
Katanya, ia berlaku selepas hujan dan mereka dalam perjalanan pulang dengan menyusuri Lembah Sungai Maksina, sebelum tiba-tiba terdengar bunyi deruan air yang kuat dari hulu.
“Sebaik terdengar bunyi arus deras yang sangat kuat, kami berlari ke tebing dan cuba berpaut, namun tetap dihanyutkan arus deras.
“Kami bernasib baik dapat berpaut pada sebatang pokok besar dan sempat naik (ke tebing) untuk berlindung. Masa itu arus sangat deras,” katanya.
Menurutnya, mereka hanya menyedari ada rakan yang terkorban selepas berjaya diselamatkan pasukan bomba.
“Kami dimaklumkan, dua rakan kami dan guide terkorban. Ini pertama kali kami melakukan hiking di kawasan berkenaan dan tidak menyangka berlaku kejadian kepala air hingga meragut nyawa,” katanya.
Kata Muhammad Azman, aktiviti di kawasan itu dilakukan bersama 10 peserta daripada kumpulannya dan dipandu seorang pemandu arah, selain turut disertai sekumpulan individu lain.
Katanya, aktiviti bermula pada 9 pagi Ahad dan cuaca mulai mendung ketika mereka dalam perjalanan pulang pada sebelah petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



