Nasib Da'i Syed diketahui 23 Januari

Nasib Da'i Syed diketahui 23 Januari

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Nasib pendakwah selebriti, Da’i Syed sama ada dibebaskan atau kekal bersalah kerana merogol seorang wanita pada 2019, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini, pada 23 Januari tahun depan.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan tersebut.

Bagaimanapun Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara bermula pada 20 September 2024 sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Hakim Adlin Abdul Majid menetapkan tarikh keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam bela Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed selaku perayu dan Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman bagi pendakwaan selaku responden.

Terdahulu, Mohamed Baharudeen berhujah bahawa tiada kejadian rogol berlaku membabitkan seorang wanita berusia 23 tahun pada 2019, dengan mendakwa mangsa memberi persetujuan kepada hubungan seksual tersebut.

Beliau berhujah bahawa berdasarkan alasan itu, sabitan bersalah, hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada Ogos lalu terhadap anak guamnya yang berusia 30 tahun tidak sepatutnya dikekalkan.

Ketika prosiding rayuan, Baharudeen berkata beban pembuktian terletak sepenuhnya pada pihak pendakwa untuk membuktikan kejadian rogol itu berlaku melampaui keraguan munasabah, yang didakwa berlaku di sebuah kondominium di i-City, Seksyen 7, pada 11 September 2019.

Beliau berkata pendakwaan bergantung kepada keseluruhan Seksyen 375 Kanun Keseksaan, yang mentakrifkan rogol sebagai persetubuhan tanpa kerelaan atau di mana persetujuan dianggap tidak sah kerana wujud ketakutan, penipuan, ketidakupayaan mental atau penyalahgunaan kuasa.

Menurutnya lagi, pendakwaan pada peringkat awal berhujah bahawa tertuduh meletakkan mangsa dalam keadaan bahaya mengikut Seksyen 375(c), namun kemudian menukar naratif dengan mencadangkan keadaan mental mangsa menyebabkan dia tidak mampu memberi persetujuan mengikut Seksyen 375(e).

“Kes pendakwaan mesti jelas. Naratif pendakwaan bercelaru dan memburukkan keadaan anak guam. Mereka perlu pilih sama ada berhujah isu ketidakmampuan mental atau ketiadaan persetujuan,” katanya.

Beliau mempersoalkan dakwaan mangsa tidak stabil secara mental dengan menyatakan:”Jika dia tidak stabil mental, adakah dia mampu memberi bukti keadaan sekeliling seperti persetujuan untuk bertemu tertuduh, bermalam di rumah tertuduh, menghantar mesej kepada rakan memaklumkan selamat tiba, dan meneruskan komunikasi selama setahun selepas kejadian.

Baharudeen menegaskan bahawa pembelaan Syed Shah Iqmal konsisten dari awal.

“Segalanya atas persetujuan. Ia bukan alasan lewat. Ia dibuktikan melalui tindakan dan kelakuan mangsa sebelum, semasa dan selepas kejadian, serta diperkukuhkan dengan bukti dokumentari. Secara ringkas, ia adalah hubungan suka sama suka,” katanya.

Beliau berhujah bahawa hakim Mahkamah Sesyen tersilap arah dalam mensabitkan tertuduh, dan memohon agar sabitan serta hukuman dibatalkan serta-merta.

Syed Shah Iqmal dilihat tenang di kandang tertuduh turut ditemani isterinya Hana Ismail yang duduk di galeri awam.

Sementara itu dalam hujahan balas, Maizatul Munirah menegaskan bahawa tiada persetujuan diberikan oleh mangsa.

“Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam keputusannya. Sabitan itu wajar dikekalkan dan hukuman penjara sepatutnya ditingkatkan.

“Pembelaan perayu adalah bersifat penafian semata-mata. Rayuan ini tidak mempunyai merit dan tidak seharusnya dipertimbangkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top