sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan dijangka memuktamadkan penilaian kebolehlaksanaan membawa semula perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia menjelang November ini, sebelum laporannya dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk keputusan lanjut.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata penilaian itu merangkumi kos penganjuran, unjuran pulangan ekonomi dan keberkesanan pelaburan.
Katanya, penelitian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan penganjuran sukan permotoran berprestij dunia itu tidak menjejaskan peruntukan pembangunan sukan serta atlet negara.
Beliau berkata, perbincangan awal sudah diadakan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan barisan pengurusan F1 mengenai kemungkinan perlumbaan berkenaan kembali dianjurkan di Malaysia.
“Penganjuran F1 bukan sesuatu yang murah, sebaliknya membabitkan kos yang agak besar. Kita perlu menilai sama ada penganjuran setiap tahun mampu memberikan pulangan yang setimpal kepada negara.
“Sekarang ini, penilaian sedang dilaksanakan dan menjelang November, kita akan mengeluarkan laporan untuk dibawa kepada Jemaah Menteri sebelum keputusan dibuat sama ada F1 akan dibawa semula ke negara kita atau tidak,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai kemungkinan F1 kembali ke Malaysia serta pertimbangan kerajaan sebelum memutuskan penganjuran perlumbaan berkenaan.
Sebagai latar belakang, Malaysia menjadi lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober lalu.
Perlumbaan itu diadakan menerusi persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain bagi mengekalkan Grand Prix Bahrain dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan asal tidak dapat berlangsung susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Penganjuran berkenaan menyaksikan F1 kembali ke Sepang selepas sembilan tahun. Litar berkenaan kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 pada 2017.
Kepulangan F1 ke Malaysia turut didorong hubungan erat dan kerjasama antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, selain sokongan kedua-dua kerajaan.
Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq berkata kerajaan turut meneliti kemungkinan menganjurkan F1 secara berkala, termasuk sekali dalam tempoh beberapa tahun menerusi kerjasama dengan negara lain.
Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diberi mandat menganggotai Jawatankuasa Penilaian F1 yang turut membabitkan kementerian berkaitan dan Ketua Setiausaha Negara bagi menilai kos serta pulangan pelaburan (ROI).
Beliau berkata, penilaian itu penting bagi memastikan manfaat ekonomi daripada penganjuran F1 tidak hanya tertumpu kepada KBS dan SIC, malah turut dinikmati sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan, peruncitan dan industri sokongan lain.
“Kita perlu melihat sama ada pulangan yang sama boleh diperoleh jika F1 dianjurkan setiap tahun, selain menilai kesediaan infrastruktur sedia ada.
“Apa yang penting, penganjuran ini tidak boleh memberikan implikasi negatif kepada pembangunan sukan negara lain. Peruntukan untuk pembangunan atlet dan sukan negara mesti terus berjalan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




