firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kedudukan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman belum selamat sekiranya Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak bersetuju dengan langkah menamatkan tempoh penggantungan kepadanya.
Perkara itu dinyatakan Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang mengakui siasatan FIFA ke atas Noor Azman masih lagi berjalan dan sekiranya didapati bersalah, badan induk itu akan mengikut arahan dan saranan FIFA.
“Saya tak boleh jawab secara tepat tapi saya tahu FIFA sedang (jalankan siasatan). FIFA akan macam ‘interview’ dia (Noor Azman), macam mana ia berlaku.
“Mungkin ‘interview’ itu boleh anggap siasatan jugalah terpulang, tetapi bagi saya keputusan FIFA itu akan jadi keputusan utama. Kita akan ikut apa pun FIFA punya (keputusan ke atas Noor Azman). Maknanya kita di peringkat kita (siasatan dalaman) kita fikir soal pentadbiran dalaman (dah selesai dan didapati tidak bersalah).
“Tapi FIFA punya penyiasatan ataupun dapatan, kita tak tahu apa,” kata Yusoff Mahadi ketika ditemui selepas pertemuan khas bersama Ahli Jawatankuasa (Exco) FAM yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka negara semalam.
Terdahulu, FAM mengesahkan penggantungan Noor Azman berakhir.
Keputusan dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib, Rabu lalu yang menyaksikan Noor Azman yang digantung tugas sejak 17 Oktober tahun lalu susulan isu dokumentasi tujuh pemain warisan kembali menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung FAM berkuat kuasa serta-merta.
Dalam perkembangan sama, Yusoff Mahadi menegaskan Noor Azman diberikan beberapa hukuman ringan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib.
Antaranya, hukuman terhadap Noor Azman adalah tiada kenaikan gaji selama dua tahun dan prestasinya akan dinilai oleh Exco dalam tempoh enam bulan.
“Kita sudah selesaikan proses kita. Maknanya, kita sudah serahkan kepada IIC dan IIC sudah beri dapatan (siasatan) mereka, kita pun sudah ikut, kita hantar ke Jawatankuasa Tatatertib.
“Namun, Jawatankuasa Tatatertib sudah buat keputusan macam itu, kita kena hormat. Kita ikut proses dan apa keputusan pun, apabila kita ada jawatankuasa buat keputusan, kita kena hormatlah keputusan itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




