sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri mengakui pelumba negara tidak berada di tahap tertinggi untuk mendapatkan kedudukan podium di Kejohanan Basikal Trek Dunia dekat Ballerup, Denmark.
Dalam kejohanan itu, Shah Firdaus Sahrom menjadi sandaran utama untuk mendapatkan pingat selepas ketiadaan Datuk Azizulhasni Awang namun begitu, keadaan kurang sihat menyebabkan dirinya gagal memberi saingan pada tahap optimum kali ini.
Jelas Harnizam, dia melihat masih ada kekurangan terutama dari segi prestasi semasa atlet negara jika dibandingkan ketika di Sukan Olimpik Parsi 2024 yang lalu.
“Secara keseluruhan, kita boleh tahu bahawa prestasi kita bukan yang terbaik, sama seperti di Paris 2024. Selain itu, kita juga kurang persiapan untuk kejohanan ini kerana berehat hampir dua minggu selepas Paris.
“Selepas ini kita akan lihat semula dan akan perlahan-lahan untuk kembali ke prestasi terbaik seperti yang diharapkan.
“Shah sudah kelihatan semakin baik selepas mengalami demam teruk tetapi badan masih belum pulih sepenuhnya. Ridwan pula melakukan PB (catatan terbaik peribadi) tetapi agak kecewa kerana tidak dapat lakukan catatan masa bawah 10 saat (s),” katanya.
Pada perlumbaan pusingan pertama itu, Shah gagal layak ke peringkat seterusnya selepas dia tewas kepada pelumba dari Great Britain, Joseph Truman semenata adik Shah, Muhammad Ridwan Shahrom juga mengalami nasib yang sama selepas tewas kepada pelumba Jepun, Yuta Obara.
Sebelum itu, ketika di pusingan kelayakan, Shah berada di kedudukan ke-22 selepas sekadar melakukan catatan masa 9.940s dan Ridwan pula melakukan 10.004s untuk berada di tempat ke-25.
Sementara itu, dalam acara 500 meter (m) ujian masa wanita, dua pelumba negara, Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi hanya mampu menamatkan perlumbaan di pusingan kelayakan selepas masing-masing menghuni kedudukan ke-17 dan 23.
© New Straits Times Press (M) Bhd




