Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 79)
لا تحكم يا أمير المؤمنين في عباد الله بحكم الجاهلين، ولا تسلك بهم سبيل الظالمين، ولا تسلط المستكبرين على المستضعفين، فإنهم لا يرقبون في مؤمن إلاّ ولا ذمة، فتبوء بأوزارك وأوزار مع أوزارك، وتحمل أثقالك وأثقالاً مع أثقالك. ولا يغرنك الذين يتنعمون بما فيه بؤسك، ويأكلون الطيبات في دنياهم بإذهاب طيباتك في آخرتك.
ولا تنظر إلى قدرتك اليوم، ولكن انظر إلى قدرتك غدًا وأنت مأسور في حبائل الموت، وموقوف بين يدى الله في مجمع من الملائكة النبيين والمرسلين، وقد عنت الوجوه للحى القيوم.
إني يا أمير المؤمنين، وإن لم أبلغ بعظتي ما بلغه أولو النهى من قبلي، فلم آلك شفقة ونصحاً، فأنزل كتابي إليك كمداوي حبيبه يسقيه الأدوية الكريهة لما يرجو له في ذلك من العافية والصحة.
والسلام عليك يا أمير المؤمنين ورحمة الله وبركاته.
Maksudnya: Janganlah engkau menjatuhkan hukuman- wahai Amir al-Mukminin- terhadap hamba-hamba Allah dengan hukuman orang jahil, juga jangan jalan orang yang zalim. Jangan biarkan golongan elit menekan rakyat marhaen. Mereka tidak memelihara (hubungan) kekerabatan dengan orang mukmin dan tidak (pula mengendahkan) perjanjian. Kelak kamu akan kembali dengan dosamu dan dosa orang yang bersamamu. Kamu membawa bebananmu dan bebanan orang lain bersamamu. Kamu jangan tertipu dengan mereka yang berada dalam kenikmatan sedangkan kamu susah, makan yang sedap-sedap di dunia mereka dengan melenyapkan kebaikanmu di akhiratmu.
Kamu jangan lihat kemampuan kamu pada hari ini, tetapi lihatlah kemampuan kamu pada esok hari sedangkan kamu berada di saat kematian, dan kamu berdiri di depan hadrat Allah bersama dalam kumpulan malaikat, para nabi dan rasul. Wajah ketika itu hanya tunduk kepada Tuhan yang maha hidup dan maha mentadbir.
Aku ini, wahai Amir al-Mukminin sekalipun nasihatku tidak sehebat nasihat orang sebelumku, namun aku tidak biarkan engkau tanpa teguran dan nasihat. Anggaplah tulisanku ini seperti orang yang merawat kekasihnya dengan ubat yang pahit kerana mengharapkan sihat dan segar.
Salam sejahtera ke atasmu- wahai Amir al-Mukminin-, rahmat Allah dan keberkatan-Nya.
Dalam perenggan-perenggan akhir surat Al-Hasan al-Basri kepada Umar bin Abdul Aziz di atas, beliau terus menerus menasihati khalifah dengan pelbagai mutiara nasihat, teguran dan peringatan.
Al-Hasan al-Basri mengingatkan khalifah agar berhati-hati dengan golongan kayangan, elit, jahil dan zalim supaya kelompok ini tidak memanipulasi keadaan rakyat bawahan untuk manfaat mereka. Jika ini dibiarkan, kesannya di dunia dan akan dibawa ke akhirat. Aspek akhirat sentiasa ditekan oleh Al-Hasan al-Basri dalam nasihatnya ini.
Begitu juga diingatkan pemerintah agar tidak tertipu dengan kenikmatan hidup dan kesedapan makanan. Ia hanya bersifat sementara di dunia. Sifat zuhud mesti ada dalam diri seorang pemimpin.
Penilaian terhadap diri bukan dilihat pada hari ini sahaja di saat berkuasa, tetapi mesti berfikir juga di saat kematian, adakah ia husnul khatimah atau sebaliknya.
Al-Hasan al-Basri ikhlas menasihati Umar bin Abdul Aziz. Jika pemimpin baik, maka kebaikannya dikecapi juga oleh rakyat. Jika jahat dan zalim, kejahatan dan kezalimannya juga akan dirasai dengan pedih oleh rakyat. Oleh kerana itulah, sehari memerintah negeri dan negara dengan adil lebih baik dari ibadat sunat yang banyak.
Kita juga mengharapkan nasihat di atas sampai kepada pemimpin kita, secara langsung atau tidak. Kesannya tetap terpalit kepada rakyat di tanah air tercinta ini. – HARAKAHDAILY 20/7/2023
Penulis adalah Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah Badan Perhubungan PAS Terengganu.