Berlin: Ralf Schumacher menasihati pemandu McLaren, Oscar Piastri supaya tidak mengambil terlalu banyak risiko pada separuh kedua musim Formula Satu (F1) 2025 ketika dia sedang bersaing dengan rakan sepasukan, Lando Norris untuk merebut gelaran dunia pertamanya.
Piastri dan Norris adalah pencabar realistik bagi kejuaraan dunia tahun ini, dengan McLaren menikmati kelebihan besar berbanding pesaingnya yang lain.
Walaupun kurang berpengalaman berbanding Norris, Piastri mengetuai kejuaraan pemandu sejak Grand Prix (GP) Arab Saudi pada April lalu, namun Norris berjaya merapatkan jurang kepada sembilan mata dengan tiga kemenangan dalam empat perlumbaan terakhir.
Bekas pemandu F1, Schumacher percaya Norris dan Piastri kini berada pada tahap yang seimbang, tetapi memberi amaran bahawa Piastri boleh tergelincir apabila kejuaraan semakin hampir dalam genggamannya.
“Sebelum ini saya akan katakan Lando adalah pemandu yang lebih lengkap, tetapi Oscar berjaya mengatasi kelemahannya dari tahun lalu.
“Dia memiliki ketahanan mental yang kuat dan juga pantas. Saya melihat mereka berdua berada pada tahap yang sama. Satu penarikan diri atau satu kesilapan boleh menentukan kejuaraan dunia.
“Saya nampak bahaya pada Oscar yang mungkin mengambil terlalu banyak risiko apabila dia nampak gelaran berada di hadapannya. Itu kadang-kadang boleh membawa padah,” kata Schumacher kepada Bild.
Komen Schumacher bercanggah dengan pandangan juara F1 2016, Nico Rosberg, yang mendakwa Piastri tidak mempunyai ‘kelemahan’, sambil berasakan ‘kejuaraan akan berada dalam fikiran Norris’.
© New Straits Times Press (M) Bhd