BEKAS pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying menitip pesanan buat jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia agar mendapatkan bantuan termasuk daripada pakar psikologi jika sudah tidak berupaya mengawal tekanan.
Beliau berkata, tekanan merupakan lumrah dalam kehidupan seorang atlet, namun ia perlu ditangani menerusi jalan yang betul supaya tidak mengugat prestasi serta kesihatan mental pemain.
“Tekanan memang sentiasa ada pada semua atlet, cuma banyak atau kurang sahaja. Namun kalau sudah sampai tahap tidak boleh kawal, memang kena jumpa pakar psikologi.
“Bagi saya, perkara ini sangat biasa. Masa sebelum Olimpik pun, saya ada jumpa psikologi. Apa yang penting, pemain itu sendiri kena berani untuk mengakui dia ada masalah dan perlu bantuan,” katanya.
Liu Ying ditemui media pada Program PrihatinSukan: Untukmu Jaguh Negara anjuran Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Bukit Kiara pada Jumaat.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Chan Peng Soon itu mengulas mengenai hantaran yang dimuat naik Zii Jia di Instagram miliknya pada malam Khamis yang mengundang teka-teki dalam kalangan peminat.
Zii Jia memuat naik beberapa foto ilustrasi hitam putih tanpa sebarang keterangan gambar, seakan memberi mesej tersirat mengenai situasinya ketika ini.
“Saya rasa ini cara dia lepaskan tekanan. Orang luar mungkin tak faham, tetapi dia sendiri tahu apa yang dia rasa.
“Ini zaman media sosial, tekanan itu akan sentiasa ada, jadi dia kena cari cara untuk seimbangkan diri dia semula,” ujar Liu Ying.
Liu Ying juga menyifatkan bahawa fasa pemulihan kecederaan juga menjadi antara cabaran terbesar buat mental mana-mana atlet, lebih-lebih lagi pemain profesional seperti Zii Jia yang turut bergantung kepada sokongan penaja.
“Penaja pun akan mula tanya bila boleh turun semula ke gelanggang. Jadi, dia bukan saja lawan sakit fizikal, tapi juga tekanan untuk pulih dan kembali beraksi dengan prestasi terbaik,” katanya.
Zii Jia ketika ini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan buku lali kanan ketika Jelajah Dunia Akhir Disember lalu sebelum kembali berulang pada Seluruh England, Mac lalu.
Situasi tersebut memaksa pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berehat panjang dan memohon perlindungan ranking daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).