Rom: Valentino Rossi menasihati Francesco Bagnaia agar tidak ‘terperangkap’ ketika bersaing dengan rakan sepasukan baharunya di Ducati MotoGP, Marc Marquez, pada musim ini.
Marquez menyertai pasukan pengeluar Ducati bersama juara dunia dua kali, Bagnaia, tahun ini selepas menolak tawaran menyertai pasukan Pramac.
Bagnaia dan Marquez beberapa kali terbabit dalam insiden musim lalu, termasuk perlanggaran di Grand Prix Portugal yang mencetuskan pertelingkahan di luar pejabat steward.
Rossi sendiri mempunyai sejarah perseteruan panjang dengan Marquez sejak 2015, dengan usahanya untuk muncul juara dunia ‘diganggu’ oleh pelumba Sepanyol itu.
Dalam temu bual baharu bersama Corriere della Sera, Rossi ditanya nasihat yang boleh diberikan kepada pelapisnya untuk bersedia menghadapi Marquez pada musim 2025.
“Ada hari di mana anda perlu menang dan ada hari di mana anda hanya perlu mengutip mata.
“Dia (Bagnaia) tidak melakukannya tahun lalu, jika tidak, dia sudah pun memenangi gelaran dunia ketiganya.
“Jangan terperangkap dalam permainan minda, jangan biarkan diri anda dipengaruhi oleh rakan sepasukan. Dalam pertarungan, nikmati dan cuba lakukan sesuatu yang mustahil,” kata Rossi.
Bagnaia terlepas gelaran ketiga musim lalu dengan perbezaan 10 mata kepada pelumba Ducati Pramac, Jorge Martin, selepas kempennya terjejas akibat gagal mengutip mata dalam lapan perlumbaan.
Karier Rossi di MotoGP turut dihiasi persaingan sengit dengan beberapa nama besar seperti Sete Gibernau, Max Biaggi dan Jorge Lorenzo.
© New Straits Times Press (M) Bhd