asmaini@mediaprima.com.my
Lambakan maklumat di hujung jari menyebabkan ramai berasakan diri sudah ‘bijak pandai’ hingga ada yang mendiagnos sendiri masalah kesihatan dialami tanpa berjumpa doktor atau ahli farmasi.
Sedangkan penggunaan ubat-ubatan sama ada ubat terkawal, ubat am atau ‘over-the-counter’ (OTC), suplemen kesihatan mahupun disediakan secara tradisional berisiko menyebabkan kesan sampingan ataupun alahan ubat.
Menurut ahli farmasi, Nurhusni Mahad Nor, dunia teknologi hari ini memudahkan orang ramai mencari pelbagai maklumat termasuk info berkaitan kesihatan dengan mudah di hujung jari.
Namun, lambakan maklumat yang diperoleh menyebabkan orang ramai mudah keliru hingga ramai berasakan mereka sudah tahu segalanya termasuk berkaitan ubat mana perlu diambil jika sakit.
“Perkara berkaitan pengambilan ubat-ubatan mahupun suplemen tambahan tidak boleh diambil mudah kerana ia berisiko menjejaskan nyawa.
“Justeru, jangan pandai-pandai diagnosis tahap kesihatan sendiri dan pastikan anda mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu sebelum mengambil sesuatu ubat,” katanya.
Menurut ibu tiga cahaya mata dari Sungai Petani, Kedah itu lagi, sebagai ahli farmasi komuniti dia bertanggungjawab menyebarkan kesedaran mengenai kesihatan dan kecantikan kepada masyarakat.
Dikenali sebagai Pharmacist Ony di media sosial, Nurhusni mempunyai 20 tahun pengalaman dalam industri farmaseutikal.
Graduan jurusan Sarjana Muda Sains Farmaseutikal dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga memiliki farmasi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang serta rangkaian produk kecantikan dan kesihatan sendiri di bawah jenama Annona.
Kata Nurhusni, lumrah setiap wanita ingin kelihatan cantik menawan bagi meningkatkan lagi keyakinan diri.
Namun, wanita jangan mudah terpedaya dengan iklan produk kecantikan meskipun kaedah pemasaran yang dipaparkan kelihatan begitu meyakinkan.
Katanya, masyarakat perlu ambil iktibar kes baru-baru ini di mana Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan terhadap satu jenama kosmetik kerana disyaki melanggar undang-undang dalam kempen pemasarannya.
“Tindakan itu diambil selepas syarikat berkenaan dalam siri iklan di media sosial, mendakwa produk mereka boleh dimakan.
“Produk kecantikan kulit luaran adalah terhad untuk kegunaan luaran sahaja kerana ia tidak menjalani ujian makmal untuk dimakan dan berisiko menjejaskan kesihatan jika diambil secara oral.
“Jadi, jika ingin cantik, sihat luar dan dalam, kita perlu ada ilmu kerana ia membantu kita ‘menapis’ semua maklumat,” katanya.
Dalam pada itu, isteri kepada Syahril Izwan Ismail, 45, itu berkata, minatnya terhadap bidang farmaseutikal hanya bercambah pada tahun ketiga pengajian selepas mula mempelajari cara pembuatan ubat.
Sebelum itu kata Nurhusni, dia agak ‘blur’ mengenai bidang farmasi kerana pilihan awalnya adalah ingin menceburi bidang perubatan.
“Tetapi, takdir Allah SWT itu cantik sekali kerana ada hikmahnya mengapa saya tidak dapat menjadi doktor.
“Kerjaya sebagai ahli farmasi secara tidak langsung turut membuka peluang menceburi bidang perniagaan dan berniaga juga adalah salah satu minat saya sejak kecil.
“Selain itu, peluang tampil di media sosial untuk berkongsi ilmu kesedaran mengenai penjagaan kesihatan dan kecantikan juga saya anggap sebagai dakwah kecil kepada masyarakat kerana tidak semua orang tahu mengenai ilmu berkaitan ubat-ubatan,” katanya yang turut kerap menerima jemputan sebagai panel untuk pelbagai majlis berkaitan farmaseutikal.
Sementara itu, di sebalik penampilannya yang ceria, ramai tidak mengetahui bahawa Nurhusni pernah diuji dengan masalah kesihatan mental.
Ia rentetan perniagaannya yang terjejas teruk pasca pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Wanita cekal ini terpaksa berjuang untuk bertahan, merombak strategi dan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.
Ketika dalam proses itu mula muncul simptom kerisauan dan kemurungan hingga akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan Nurhusni.
Namun, kini Nurhusni berjaya mengatasi masalah itu untuk bangkit kembali demi keluarga tersayang.
Katanya, dengan sokongan keluarga terutama suami tersayang, dia berikhtiar melakukan pelbagai rawatan termasuk bantuan pakar kerana tidak mahu berterusan menjalani kehidupan seperti orang yang putus harapan.
“Alhamdulillah dengan izin-Nya, saya kini kembali bersemangat menjalani kehidupan seperti dahulu dan ia bagaikan mendapat peluang kedua.
“Pengalaman yang dilalui itu jelas membuka mata bahawa masalah kesihatan mental sebenarnya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Tidak kira siapa dan apa pun pangkat anda, jangan bertangguh untuk mendapatkan rawatan dengan segera jika mengalami simptom kesihatan mental kerana jika dibiarkan, ia boleh ‘memakan’ diri dan menjejaskan kehidupan anda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

