sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Natasha Roslan mencipta sejarah apabila menjadi pemain boling wanita pertama Malaysia yang menjuarai Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF).
Pemain berusia 27 tahun itu merangkul gelaran dengan penuh bergaya selepas menewaskan wakil Jerman, Birgit Noreiks, 2-0 (217-166, 226-169) di Top Bowl, Kai Tak Sports Park, Hong Kong.
Kejayaan ini turut menjadikan Natasha sebagai pemain Malaysia pertama yang melengkapkan kejohanan berganda berprestij iaitu Piala Dunia dan Kejohanan Dunia.
Sebelum ini, Natasha meraih gelaran juara perseorangan wanita pada Kejohanan Dunia 2023 di Kuwait.
Kemenangan Natasha turut menamatkan penantian 13 tahun Malaysia untuk meraih kejayaan di Piala Dunia IBF, kali terakhir dimenangi oleh Syafiq Ridhwan Abdul Malek pada 2012 di Wroclaw, Poland.
Malaysia sebelum ini hampir memenangi gelaran wanita beberapa kali, dengan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman menjadi naib juara pada 2017, Li Jane pada 2014 dan 2018, serta Shalin Zulkifli pada 1996.
Dalam acara lelaki, Rafiq Ismail hampir mencipta kejayaan tetapi terpaksa akur selepas tewas tipis kepada wakil China, Du Jian Chao, dengan keputusan 2-1 (222-223, 226-166, 235-193) dalam perlawanan akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




