NATO perkukuh pertahanan

NATO perkukuh pertahanan

BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), hari ini memaklumkan pihaknya menghantar jet dan kapal perang, bagi memperkukuh pertahanan di timur Eropah.

Percaturan itu selari Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) dalam menggerakkan tindak balas terhadap Russia, sekiranya negara terbabit menjajah Ukraine.

Ketegangan terus memuncak susulan langkah Russia yang menempatkan kira-kira 100,000 anggota dan aset tentera di sempadan negara jiran, meskipun Krelim berulang kali menegaskan pihaknya tidak mempunyai rancangan ke arah pencerobohan.

AS dan Britain mengarahkan keluarga diplomatnya untuk meninggalkan Ukraine, namun Kyiv serta EU berkata, langkah itu terlalu awal, di sebalik pelbagai pandangan mengenai kemungkinan serangan didalangi Russia terhadap Ukraine.

Blinken akan memberi penerangan kepada sekutu EU mengenai rundingan di antara AS dan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, di Geneva, Jumaat lalu.

Menerusi perbincangan itu, kedua-dua pihak mencapai kesepakatan untuk merintis kerjasama ke arah mengurangkan ketegangan, namun gagal memuktamadkan usaha khusus, bagi merungkai krisis.

AS sedang cuba menggerakkan sekutunya bagi mengenakan sekatan terhadap Moscow, jika mengerah lebih ramai anggota tentera di kawasan sempadan, dan negara anggota EU menegaskan serangan dengan kesan ketara berupaya dilancarkan terhadap Kremlin, jika perlu berbuat demikian.

Gabungan NATO diterajui AS berkata, negara anggota menempatkan tentera dalam keadaan bersiapsiaga, selain menghantar kapal dan jet bagi memperkukuh pertahanan di timur Eropah, malah langkah sama diambil Denmark, Sepanyol dan Belanda.

“NATO akan terus mengambil langkah bersesuaian bagi melindungi dan mempertahan semua rakan sekutu,” kata Ketua NATO, Jens Stoltenberg.

Kremlin mendakwa gabungan itu sebaliknya mencetuskan ketegangan yang semakin meruncing berikutan ‘histeria maklumat’ dan ‘tindakan keras’.

Katanya, tindakan ketenteraan Ukraine terhadap puak pemisah penyokong Russia, bakal mengundang risiko yang amat tinggi. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top