Nattawat fokus buru jaringan

Nattawat fokus buru jaringan

Izzali Ismail

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar : Kapten pasukan Kedah, Nattawat Luksanato bertekad mempertingkatkan sentuhan penyudah terbaiknya meskipun berdepan aksi sukar menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada malam esok.

Menurut pemain import dari Thailand yang sudah meledak empat gol setakat ini, tiada jalan mudah buatnya selain mempertingkatkan usaha tatkala berdepan skuad Harimau Selatan yang belum pernah tewas dan paling sedikit dibolosi setakat enam perlawanan yang berlangsung.

“Kita tahu Johor adalah pasukan paling kuat dan mendahului carta, mereka belum pernah kalah. Namun saya bersama rakan sepasukan tak akan mengalah dan akan pamerkan aksi terbaik.

“Jika saya berseorangan ianya pasti begitu sukar, tetapi saya tetap yakin dengan kerjasama dan kombinasi yang baik dalam pasukan, tidak mustahil kami mampu melakar aksi yang kami rancangkan.

“Saya idamkan jaringan pada setiap perlawanan tetapi buat masa ini mungkin hasilnya belum cukup untuk kejayaan pasukan dan saya berharap dengan setiap pengalaman yang sedang kami lalui ini dapat membantu meningkatkan ketajaman,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Penolong Jurulatih Kedah Fazrul Maidin mahu pemain kekalkan tumpuan mereka serta tetap berwaspada agar setiap kesilapan yang mereka lalui pada dua perlawanan lalu berdepan Pahang Rangers dan TOT United tidak berulang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top