norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon popular Indonesia, Naysila Mirdad, 37, mengakui pernah berasa sakit yang teramat sangat kerana pengalamannya ‘menjaga jodoh orang’ begitu lama dalam hubungan percintaan dijalin.
Naysila berkata, dia sebelum ini sudah beberapa kali kecundang dalam percintaan, namun kini berharap hubungannya dengan kekasih dikenali Arfito Hutagalung akan melangkah ke fasa perkahwinan.
“Saya pernah pacaran (bercinta) lama, tapi tiada jodoh bernikah. Sakitlah, sakit sangat (menjaga jodoh orang). Maka, saya boleh faham apa perasaan yang dirasai oleh karekter Arum itu.
“Jujurnya, saya ada beberapa kali juga melaluinya (putus cinta). Macam banyak kali disakiti ya. Tapi, mudah-mudahan dengan yang terakhir ini (kekasih sekarang) ada jodohnya,” kata Naysila kepada Harian Metro.
Menurut Naysila yang juga anak kepada pasangan selebriti Jamal Mirdad dan Lidya Kandau itu, dia bersama kekasihnya kini bagaimanapun masih lagi dalam proses berkenalan.
“Dengan kekasih sekarang, kita masih dalam proses berkenalan baik dalam perhubungan. Kenal dengan keluarganya kerana memang kita ada merancangnya (untuk ke fasa perkahwinan).
“Tapi, semuanya (urusan jodoh) itu Tuhan yang mengatur. Kita hanya mampu berserah,” katanya memaklumkan sudah dua tahun bercinta dengan kekasih yang juga seorang ahli perniagaan.
Naysila berkata, apa yang pasti dia mohon kepada semua agar didoakan yang baik-baik berhubung impian perkahwinannya bersama kekasih menjadi kenyataan untuk mereka hidup bersama.
Berbicara karier lakonannya, Naysila yang mula berlakon ketika berumur 16 tahun itu cukup dikenali di Indonesia dan Malaysia menerusi sinetron seperti Liontin, Intan, Cahaya, Sekar dan banyak lagi.
Baru-baru ini, Naysila hadir ke Malaysia sempena tayangan perdana filem terbaharunya, Tabayyun yang dibintangi bersama Titi Kamal dan Ibrahim Risyad serta sudah ditayangkan pawagam di Malaysia pada 10 Julai lalu.
Mengenai watak Arum lakonannya, ia memaparkan Naysila sebagai pencinta yang setia terhadap seorang lelaki dikenalinya sejak kecil, Arlo dan mereka sangat rapat serta membesar bersama-sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd