Nazmi tak tersenarai untuk adili aksi Piala Dunia 2026

Nazmi tak tersenarai untuk adili aksi Piala Dunia 2026

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengadil negara, Nazmi Nasaruddin terlepas peluang untuk bertugas di Piala Dunia 2026 selepas namanya tidak tersenarai dalam senarai akhir pegawai perlawanan yang diumumkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

Badan induk bola sepak dunia itu mendedahkan senarai pengadil, penolong pengadil dan pegawai video bantuan pengadil (VAR) yang akan mengendalikan kejohanan berkenaan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai ini.

Seramai 52 pengadil dipilih termasuk enam wanita, selain 88 penolong pengadil dan 30 pegawai video bantuan pengadil yang mewakili enam konfederasi serta 50 persatuan anggota.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Nazmi, yang sebelum ini dilihat antara calon terbaik Malaysia untuk tugasan Piala Dunia, gagal merealisasikan impian berkenaan.

Nazmi sebelum ini muncul antara calon utama selepas dipilih menyertai kursus ‘2026 FIFA World Cup Candidate’ pada 2024, yang menjadi antara laluan penting dalam proses pemilihan pegawai perlawanan ke kejohanan itu.

Kegagalan itu juga bermakna Malaysia masih perlu menunggu wakil pengadil seterusnya di Piala Dunia selepas pencapaian bersejarah yang pernah dilakar Subkhiddin Salleh.

Subkhiddin kekal sebagai satu-satunya pengadil Malaysia yang pernah dipilih ke Piala Dunia apabila bertugas pada edisi 2010 di Afrika Selatan sebagai pegawai keempat.

Beliau juga memegang rekod sebagai pengadil pertama negara yang terpilih ke kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.

Menurut Ketua Pegawai Pengadilan FIFA, Pierluigi Collina, semua pegawai yang dipilih adalah yang terbaik di dunia selepas melalui proses penilaian ketat dan menyeluruh.

“Mereka sebahagian daripada kumpulan pegawai yang lebih besar dikenal pasti dan dipantau sejak tiga tahun lalu. Mereka menghadiri seminar dan bertugas dalam kejohanan FIFA.

“Selain itu, prestasi mereka dalam perlawanan domestik dan antarabangsa juga dinilai secara berkala,” katanya.

Edisi 2026 bakal muncul Piala Dunia terbesar dalam sejarah dengan membabitkan 48 pasukan dan 104 perlawanan, berbanding 32 pasukan dan 64 perlawanan pada edisi 2022 di Qatar.

Enam pengadil wanita turut tersenarai dalam senarai akhir, meneruskan trend yang mula diperkenalkan pada Piala Dunia sebelum ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top