Nazmi, Zairul, Arif digesa manfaatkan pentas Qatar 2023

Nazmi, Zairul, Arif digesa manfaatkan pentas Qatar 2023

Dari kiri, Zairul, Nazmi, Hamidin, Arif dan Ravichandran di Doha, Qatar pada Sabtu. Foto FAM

PENGADIL kebangsaan, Muhammad Nazmi Nasaruddin serta dua penolong pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid digesa menampilkan prestasi terbaik di Piala Asia 2023 di Qatar.

Itu harapan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bagi memastikan ketiga-tiga wakil negara di temasya bola sepak terbesar Asia berada dalam senarai pendek pengadil dan penolong pengadil yang bakal dilantik bertugas pada Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

“Sudah tentu harapan peminat dan penyokong mahu melihat skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon tampil cemerlang di Piala Asia 2023 di Qatar ini. Tapi mereka juga mahu melihat set pengadil dari Malaysia – Nazmi, Zairul dan Arif terpilih ke Piala Dunia 2026.

“Jadikan pentas Piala Asia 2023 ini sebagai medan terbaik untuk anda bertiga terpilih dalam kalangan 10 set pengadil dari Asia layak ke Piala Dunia 2026 yang mana peluang untuk mencipta sejarah pengadil Malaysia mengadili perlawanan Piala Dunia lebih cerah kerana penyertaan 48 pasukan buat kali pertama.