norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas anggota Raihan, Nazrey Johani, 54, dinasihatkan doktor agar berehat sekali gus menghentikan seketika segala aktiviti dilakukannya termasuk dalam karier nyanyian.
Terdahulu, Nazrey yang menetap di negeri kelahirannya di Sabah dilaporkan mengalami serangan jantung baru-baru ini dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Nazrey berkata, dia bersyukur keadaan kesihatannya ketika ini berada dalam fasa pemulihan dan semakin baik selepas menjalani pembedahan memasukkan belon dan ‘stent’ ke jantung.
“Alhamdulillah, saya kini kena banyak berehat atas nasihat doktor. Malah, aktiviti seni terpaksa saya hentikan seketika untuk beri ruang kepada proses pemulihan.
“Saya nasihatkan semua sahabat Munsyid Malaysia agar jaga kesihatan, amalkan gaya hidup sihat dan jangan lupa buat pemeriksaan kesihatan secara berkala. Jangan ambil ringan,” katanya.
Sebelum itu, Nazrey menerima kunjungan penuh kasih dan solidariti daripada Persatuan Munsyid Malaysia diwakili kumpulan Inteam yang meluangkan masa menziarahinya serta menghulur sumbangan kewangan.
Kunjungan kumpulan Inteam ke Sabah itu difahamkan sempena persembahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2025.
Sementara itu, Presiden baharu Munsyid Malaysia, Hazamin Inteam berkata pihak persatuan menerusi Biro Keahlian dan Kebajikan sangat memahami keadaan masalah kesihatan dialami Nazrey sekarang.
“Jadi, kehadiran kami (Munsyid Malaysia) ini secara tidak langsung bagi menyampaikan juga sumbangan kebajikan kepada Nazrey untuk membantu meringankan bebannya disebabkan tidak sihat.
“Kami hadir bukan sekadar membawa doa dan sumbangan, tetapi sebagai tanda persaudaraan sesama munsyid buat Nazrey yang juga sosok penting dalam sejarah perkembangan nasyid tanah air.
“Semangat dan perjuangannya (Nazrey) turut dilihat menjadi inspirasi buat generasi penyanyi nasyid lain. Bagaimanapun, semoga Nazrey pulih dan kembali sihat,” katanya.
Dalam kunjungan itu, Hazamin berkata Nazrey juga berkongsi kisah perjuangannya dalam muzik nasyid sejak era kegemilangan bersama Raihan pada 1990-an lalu berserta nasihat.
Mengenai Munsyid Malaysia, katanya, persatuan itu melalui Biro Keahlian dan Kebajikan sangat komited untuk terus menjaga kebajikan artis nasyid tanah air sebagai satu komuniti yang saling menyokong ketika susah dan senang.
© New Straits Times Press (M) Bhd