Nazrin meninggal dunia sebelum kebakaran – Pakar forensik

Nazrin meninggal dunia sebelum kebakaran – Pakar forensik

Shah Alam: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu oleh pakar perunding forensik bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, meninggal dunia sebelum kebakaran berlaku di bilik tidur rumahnya.

Pakar Perunding Perubatan Forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng berkata, tiada kecederaan jelaga dan keadaan seperti itu menunjukkan mangsa tidak menyedut udara panas.

“Nampaknya dia (si mati) sudah meninggal dunia sebelum kebakaran,” katanya yang juga saksi pendakwaan ke-46 ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanifah.

Ketika membaca keterangan saksinya, Dr Sheue Feng yang menjalankan bedah siasat terhadap Nazrin pada 5 petang, 14 Jun 2018 di Jabatan Perubatan Forensik HKL berkata, tiada bukti kecederaan hidu larinks atau jelaga di trakea serta laluan udara yang lebih dalam.

Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan Nazrin yang dihadapi balunya, Samirah Muzaffar, 46, dan dua remaja yang kini berumur 19 dan 16, serta wanita warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan pembunuhan itu di sebuah rumah dekat Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga 4 pagi hari berikutnya.

Dr Sheue Feng yang berpengalaman melakukan lebih 2,000 bedah siasat, menyenaraikan 16 tanda kecederaan yang ada pada badan Nazrin, merangkumi luka menembus berukuran 5×4 sentimeter (sm) di bahagian parietal kiri, luka menembus berukuran 2×1 sm di sebelah kanan dahi dan luka menembus berukuran 2×1.5 cm di bahagian atas depan leher.

Saksi juga menunjuk dan menjelaskan beberapa keping gambar yang diambil ketika bedah siasat yang dipaparkan pada skrin di mahkamah.

Lebih 100 keping gambar ditunjukkan kepada mahkamah.

Ketika gambar itu dipaparkan, kakak Nazrin yang berada di ruang mahkamah didengar menangis.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung Selasa.

Scroll to Top