ND Lala akhirnya buka mulut, minta bekas isteri henti menipu & buat cerita palsu

ND Lala akhirnya buka mulut, minta bekas isteri henti menipu & buat cerita palsu

Lama mendiamkan diri selepas isu rumah tangganya menjadi perbualan netizen di media sosial, selebriti terkenal era 80an, ND Lala atau nama sebenarnya Dato’ Amir Hamzah Salleh akhirnya membuka mulut dan menjelaskan segala tuduhan yang dilemparkan ke atasnya sebelum ini.

Menerusi posting yang dibuat di media sosial, ND Lala mengesahkan bahawa dia dan bekas isteri, Fauziah Sarman sudah sah berpisah pada Ogos lalu dan pengesahan mahkamah dibuat pada 5 September 2023.

“Hakikatnya, bermula 2 Ogos lalu, perkahwinan kami berakhir. Untuk itu, tiada keperluan lagi untuk bicarakan tentang perkahwinan kerana kami bukan lagi suami isteri,” katanya.

Dia mengaku telah melafazkan talak ke atas Fauziah pada 2 Ogos di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan menfailkan penceraian pada & Ogos diikuti pengesahan lafaz melalui mesej suara di aplikasi WhatsApp pada 8 Ogos lalu.

Bapa kepada penyanyi terkenal, Shila Amzah ini juga mengaku telah bernikah dengan Siti Munirah Abdul Ghani dan bekas isteri tidak dapat menerima poligami.

Memang benar saya sudah berkahwin dengan Siti Munirah Abdul Ghani. Memang benar bekas isteri tidak bersetuju dengan poligami, banyak kali ugut, desak dan minta saya menceraikannya.

Memang benar ini bukan satu keputusan mudah selepas 34 tahun kami bernikah dan Allah anugerahkan kami empat cahaya mata. Saya menunaikan permintaan bekas isteri melafazkan cerai pada 2 Ogos lalu.
“Saya tidak mahu ulas apa yang terjadi antara kami sehingga membawa kepada perceraian kerana itu adalah hal peribadi. Apabila menggunakan pertimbangan akal, bukan emosi, kita akan faham sekiranya berlaku pergaduhan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan.
“Platform yang betul untuk mengadu atau dirujuk adalah pejabat agama dan diputuskan di mahkamah,” katanya.

Ujarnya, tiada keperluan untuk dia berkongsi masalah rumah tangga terutamanya di media sosial kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

‘Kehadiran’ netizen dan juga wartawan juga dianggap tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

“Jadi, jalan sepatutnya adalah mencari solusi bukannya sensasi, kecuali seseorang itu memang inginkan publisiti untuk meraih sensasi.
“Saya percaya kepada rukun Islam, qada dan qadar. Ini bahagian saya, jadi rela dan percaya perancangan Allah jauh lebih baik.
“Saya percaya dengan rahmat Allah, pasti ada kebaikannya untuk kami pada masa akan datang,” katanya.

ND Lala juga sempat berpesan supaya mana-mana pihak berhenti membuat cerita palsu kerana lama kelamaan kebenaran akan terbukti juga.

“Mungkin kita cerdik, tapi orang lain juga tak bodoh. Mungkin kita cantik, tapi orang juga tak hodoh.
“Mungkin kita alim, tapi orang lain pun tak jahil, jadi kita perlu tahu mana satu hak dan batil.
“Berhentilah menipu, berhentilah buat cerita palsu. Berapa lama nak menipu, akhirnya orang akan tahu? Kebenaran akan menang,” katanya.

Untuk rekod, ND Lala dan Fauziah telah mendirikan rumah tangga lebih kurang 34 tahun dan dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu Shila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir, 28; dan Nur Syuhada, 25.

Kemelut rumah tangganya menjadi perbualan ramai apabila bekas isteri telah memuat naik gambar seorang wanita dengan menyatakan bahawa individu berkenaan adalah ‘penyondol’ dan pernah berkawan rapat dengan anak sulungnya sewaktu zaman persekolahan.

Sumber: Instagram ndlalaofficial, YouTube ND Lala