Pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa berkongsi perjalanan transformasi hidupnya selepas mendirikan rumah tangga, termasuk keputusan beralih daripada dunia glamor kepada kehidupan yang lebih sederhana dan tenang.
Bukan senang tinggalkan dunia glamor
Menerusi perkongsiannya di podcast Ruang Cerita Zayan, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 37, mengakui bukan mudah untuk meninggalkan kehidupan yang sebelum ini sentiasa menjadi perhatian ramai.
“Untuk switch pada kehidupan berkahwin dan duduk di sini, buang dunia glamor ini bukan satu perkara mudah. Kebanyakan orang yang melalui semua ini mereka akan mengalami depresi, tak boleh terima hakikat dan sebagainya.
“Namun diawal perkahwinan kami, waktu itu PKP, tak ada anak lagi kami banyak belajar tentang hadis-hadis Nabi tentang kemasyhuran dan dunia.
“Jadi perkara itu banyak membentuk persepsi dan fikiran saya untuk membuang semua kehidupan glamor dengan baik,” katanya.

Tinggalkan dunia glamor ketika kerjaya berada di puncak
Mengimbas kembali tahun 2020 sebelum pelaksanaan PKP akibat Covid-19, Neelofa menyatakan ketika itu kerjaya seninya berada di puncak dengan pelbagai peluang termasuk perancangan mengembangkan kerjaya ke luar negara.
“Saya terfikir juga sebab waktu tahun 2020 sebelum PKP, kehidupan saya sebagai artis berada di puncak.
“Dengan undangan luar negara, saya cuba bina kerjaya di Eropah, Indonesia dan sebagainya. Saya dah bercadang nak sewa apartment di Perancis dan rumah di Indonesia.
“Saya dah mula buat survey sebab sudah ada agensi di sana,” ujarnya.

Keutamaan berubah setelah bergelar isteri
Namun, selepas mendirikan rumah tangga bersama pendakwah bebas, Haris Ismail, keutamaan hidupnya berubah.
“Selepas berkahwin walaupun saya sudah kurang berada di hadapan kamera dan menjadi perhatian ramai tapi memang jauh berbeza rasa tenangnya hidup ini.
“Saya cuba sedaya upaya untuk mengimbangkan dunia dan akhirat. Jadi kehidupan yang Haris bawa dalam gaya hidup kami bersama anak-anak, kami cuba seimbangkan semua.
“Kejar dunia juga tetapi kalau terlalu banyak dunia kita akan serabut, namun kalau ada dunia dan akhirat hidup kita akan okay insya-Allah,” katanya.

Artikel lain: Neelofa kongsi detik mula kenal Haris – “Dia carikan ustazah untuk saya”
Untuk rekod, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Bilal, 4, serta Abbas yang kini berusia tiga tahun.
Sumber: YouTube Zayan My




