Neelofa, keluarga ke balai polis untuk beri keterangan

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Video yang tular di media sosial semalam dikongsikan kakak selebriti itu, dikatakan memaparkan keluarga mereka menyambut Hari Raya pertama bersama.

PETALING JAYA: Selebriti terkenal Noor Neelofa Mohd Noor dan keluarganya hadir memberi keterangan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfileds susulan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, pihaknya selesai mengambil keterangan daripada selebriti itu serta keluarganya dan siasatan selanjutnya akan dijalankan.

“Setakat ini, 10 ahli keluarga Neelofa telah diambil keterangan,” katanya menurut laporan Bernama.

Difahamkan, kenderaan jenis Alphard yang membawa bapa selebriti itu tiba di IPD Brickfields pada 2.51 petang sebelum satu lagi kenderaan dipercayai membawa ahli keluarganya yang lain tiba di lokasi sama.

Kira-kira 5.40 petang, kenderaan yang membawa selebriti itu dan keluarganya dilihat meninggalkan IPD Brickfields.

Sejak semalam, tular video di media sosial memaparkan keluarga selebriti itu dikatakan menyambut Hari Raya pertama bersama di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail.

Terdahulu, Anuar berkata siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan kejadian itu menerusi video tular berdurasi 26 saat dipercayai dimuat naik melalui akaun Instagram kakak selebriti tersebut. Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat.

“Video juga didapati telah dikongsikan netizen melalui laman sosial dan kakak kepada selebriti itu dipercayai memadamkan video itu daripada laman sosial setelah ia tular,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular melibatkan keluarga selebriti itu dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Katanya sebarang aktiviti yang bertentangan dengan SOP termasuk penyalahgunaan permit merentas negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Kes itu disiasat mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP PKP.