Selebriti dan usahawan terkenal Neelofa dan penyanyi Marsha Milan tersenarai antara 13 wanita luar biasa yang diiktiraf menerusi Anugerah Ibu Zain 2025.
Pada majlis berprestij itu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor menerima Anugerah Wanita Inspirasi.

Manakala Marsha Milan yang baru sahaja memenangi Anugerah Juara Lagu 39 pula dianugerahkan Anugerah Wanita Kesenian sebagai penghormatan terhadap sumbangan mereka dalam industri masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut pada malam kemuncak Festival The Muslim World Women’s Summit: Voice of H.E.R dan Anugerah Ibu Zain 2025, yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, pada Rabu.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Selain Neelofa dan Marsha, anugerah tertinggi iaitu Anugerah Voices of H.E.R diberikan kepada legenda skuasy negara, Datuk Nicol David, sebagai pengiktirafan terhadap kejayaannya dalam dunia sukan serta pengaruhnya di peringkat antarabangsa.
Antara penerima lain Anugerah Ibu Zain 2025 ialah atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong yang meraih Anugerah Wanita Kesukanan, pempengaruh dan usahawan muda Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin bagi Anugerah Wanita, serta Chaya Sulaiman yang dianugerahkan Anugerah Kesukarelawan.



Dalam bidang lain, Dr Nur Haliza Abdul Wahab menerima Anugerah Wanita Teknologi, Shamsiah Abdul Rahman dianugerahkan Anugerah Ibu Mithali, manakala Dr Rafidah Abdullah meraih Anugerah Wanita Kesihatan.
Di samping itu, Siow Lee Chan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wanita Istimewa, sementara Che Siti Noraini Nuawi menerima Anugerah Wanita Keusahawanan. Datuk Dr Hartini Zainuddin pula menerima Anugerah Wanita Perundangan, dan Tina Tajuddin dianugerahkan Anugerah Wanita Pendidikan.
Anugerah Ibu Zain 2025 merupakan acara kemuncak festival tersebut yang bertujuan memberi penghormatan kepada wanita luar biasa yang memberikan impak besar dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, keusahawanan, kesihatan, perundangan, sukan dan kesukarelawanan.
Anugerah ini dinamakan bersempena Tan Sri Hajjah Zainon Munshi Sulaiman (Ibu Zain), seorang pelopor dalam bidang pendidikan dan pejuang hak wanita. Ia melambangkan ketabahan, kepimpinan serta kecemerlangan wanita Malaysia dalam pelbagai lapangan.




