Negara ASEAN perlu bersepadu banteras sindiket penipuan rentas sempadan – PM

Negara ASEAN perlu bersepadu banteras sindiket penipuan rentas sempadan – PM

bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Negara anggota ASEAN perlu bertindak lebih tegas dan bersepadu bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian serta pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, sindiket penipuan rentas sempadan kini menjadi kebimbangan bersama kerana menjejaskan kestabilan ekonomi dan sosial negara anggota.

Tegasnya, isu itu akan diberi penekanan dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ini bagi memastikan komitmen kolektif dapat dicapai dalam memerangi kegiatan berkenaan secara menyeluruh.

“Ya, isu ini sudah beberapa kali dibincangkan dan menjadi kebimbangan kerana menjejaskan kestabilan ekonomi serta sosial rantau ini.

“Saya boleh pastikan perkara ini turut dibangkitkan di peringkat tertinggi, beberapa langkah sudah diambil, namun ASEAN memerlukan komitmen lebih tegas untuk menoktahkan kegiatan ini,” katanya pada sesi Taklimat bersama Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian berhubung laporan yang mendakwa kegiatan sindiket penipuan di Kemboja dan Laos yang masih aktif walaupun beberapa siri serbuan dilakukan pihak berkuasa.

Anwar berkata, Malaysia menyokong usaha ASEAN memperkasa kerjasama dalam penguatkuasaan, risikan dan undang-undang antara negara anggota bagi memastikan tiada penjenayah memanipulasi sempadan untuk melakukan jenayah.

“Kejayaan ASEAN membanteras isu ini bergantung kepada kesepakatan politik dan kesungguhan setiap negara anggota melaksanakan tindakan tegas tanpa kompromi terhadap penjenayah terancang.

“Malaysia komited memastikan isu ini tidak lagi berlarutan dan menyeru ASEAN memperkukuh mekanisme bersama bagi melindungi keselamatan serta maruah rakyat di rantau ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top