PETALING JAYA: Negara-negara membangun tidak lagi wajar dianggap sebagai ‘pemain pinggiran’ dalam sistem global.
Perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berucap pada Forum Perniagaan BRICS sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-17 di Rio De Janeiro, Brazil hari ini.
“Kita (negara membangun) bukan sekadar pewaris sejarah pasca penjajahan. Kita kini bangkit sebagai kuasa bermaruah yang memiliki kekuatan tersendiri dalam teknologi, perdagangan, kepimpinan dan suara moral dunia,” kata beliau menerusi perkongsian di Facebook.
Sementara itu, Anwar menyatakan penghargaan beliau kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva atas kepemimpinan yang berani dan berprinsip.
“BRICS hari ini melangkaui retorik politik. Ia adalah gabungan kuasa politik, ekonomi dan masyarakat sivil yang bergerak seiring dalam menuntut sistem global yang lebih adil dan saksama.
“Keunikan BRICS terserlah dengan penyertaan aktif sektor swasta, wanita, belia dan masyarakat madani, menjadikan perjuangan ini bukan sekadar wacana elit tetapi gerakan kolektif yang inklusif dan berdaya tahan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berkongsi aspirasi ini. Kita di Asia Tenggara memperjuangkan multilateralisme, memperkukuh perdagangan intra ASEAN dan mempelopori penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga rentas sempadan sebagai langkah konkrit ke arah sistem kewangan yang lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral,” tambahnya.
Kata Perdana Menteri, anggota BRICS dan ASEAN juga perlu terus mempererat kerjasama strategik, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas rantau demi manfaat bersama negara-negara membangun.
“Saya turut menyeru reformasi besar-besaran terhadap institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia agar lebih mencerminkan realiti semasa dan keperluan negara membangun, bukan terperangkap dalam struktur usang pasca Perang Dunia Kedua.
“BRICS 2025 bukan sekadar kesinambungan usaha lalu sebaliknya detik kebangkitan baharu. Dengan kepimpinan politik yang berwawasan, sektor swasta yang progresif dan perpaduan Selatan Global yang kian kukuh, kita punya peluang sebenar untuk membentuk semula landskap global,” katanya.-UTUSAN.