Kuala Lumpur: Kesan konflik yang semakin meruncing membabitkan Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran, yang memasuki hari ke-11 pada Selasa, terus dirasai di seluruh dunia berikutan gangguan bekalan minyak dan gas global yang mencetuskan kekurangan bahan api, kenaikan harga dan langkah penjimatan tenaga di beberapa buah negara.
Beberapa kerajaan mula melaksanakan langkah kecemasan untuk menguruskan penggunaan tenaga dan mengekalkan bekalan ketika ketidaktentuan dalam pasaran minyak global memuncak di tengah-tengah serangan berterusan dan ketidakstabilan di Asia Barat.
Di India, pihak berkuasa telah mengambil langkah mengawal selia pengeluaran dan pengedaran gas asli bagi memastikan bekalan mencukupi untuk sektor keutamaan, termasuk isi rumah dan pengangkutan, susulan gangguan penghantaran gas asli cecair (LNG) akibat konflik itu, lapor Anadolu Ajansi .
Ahli parlimen negara itu turut menyuarakan kebimbangan berhubung kekurangan gas petroleum cecair (LPG), dengan hotel dan restoran di bandar-bandar utama seperti Mumbai dilaporkan terpaksa menghentikan operasi akibat ketiadaan bekalan gas memasak, menurut Xinhua.
Sementara itu, Mesir dan Sri Lanka telah menaikkan harga bahan api domestik sebagai tindak balas kepada lonjakan kos tenaga global. Mesir menaikkan harga petrol dan diesel antara 14 dan 17 peratus, manakala Sri Lanka turut menaikkan harga runcit bahan api dengan memetik pasaran minyak mentah yang tidak menentu.
Pakistan pula mengumumkan langkah penjimatan untuk menjimatkan bahan api, termasuk mengurangkan peruntukan bahan api kenderaan kerajaan kepada separuh dan melaksanakan aturan bekerja dari rumah untuk kakitangan sektor awam dan swasta, manakala sekolah akan ditutup sementara selama dua minggu.
Langkah serupa turut diambil di negara Asia yang lain, dengan Thailand mengarahkan agensi kerajaan melaksanakan aturan bekerja dari rumah dan menggantung lawatan ke luar negara bagi mengurangkan penggunaan tenaga.
Vietnam juga menggalakkan kerja jarak jauh, penggunaan pengangkutan awam dan langkah penjimatan bahan api yang lain sementara pihak berkuasa memantau kesan konflik Asia Barat ke atas bekalan bahan api dan pasaran tenaga global.
Di sebalik kesan ekonomi, permusuhan ketenteraan di seluruh rantau itu terus memuncak.
Di selatan Lubnan, empat orang cedera selepas serangan udara Israel mengenai beberapa bandar termasuk Breykaah, Kfarsir dan Deir Antar, memusnahkan sebuah bangunan kediaman dan mencetuskan bedilan artileri di kawasan berhampiran, lapor Agensi Berita Nasional Lubnan.
Di Iran, sembilan hospital dilaporkan berhenti beroperasi susulan serangan udara AS-Israel, manakala berpuluh-puluh kemudahan kesihatan dan ambulans rosak sejak konflik bermula, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik sumber Iran.
Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata sekurang-kurangnya 2,000 orang terbunuh di Iran sejak 28 Feb, termasuk Pemimpin Agung Ali Khamenei dan lebih 150 pelajar sekolah perempuan, sementara itu Tehran berikrar untuk terus mempertahankan kedaulatannya.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran juga menyatakan pihaknya telah menembak jatuh tiga dron MQ-9 di ruang udara wilayah Bushehr dan Tehran menggunakan sistem pertahanan udaranya, lapor Agensi Berita Mehr.
Kebimbangan keselamatan serantau mendorong beberapa negara mengambil langkah berjaga-jaga. Iraq melanjutkan penutupan ruang udaranya untuk 72 jam lagi berikutan keadaan keselamatan yang meruncing sementara pihak berkuasa terus memantau perkembangan berkaitan konflik itu, menurut Agensi Berita Qatar.
Australia mengumumkan penempatan pesawat pengintip E-7A Wedgetail dan peluru berpandu udara-ke-udara ke wilayah Teluk untuk membantu melindungi rakyatnya dan menyokong keselamatan ruang udara serantau, lapor Anadolu Ajansi.
Sistem pertahanan udara di seluruh Teluk turut diaktifkan. Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan pertahanan udaranya memintas peluru berpandu dan dron yang dilancarkan dari Iran, manakala Arab Saudi melaporkan kemusnahan satu peluru berpandu balistik dan dua dron yang menyasarkan wilayah timurnya, lapor Anadolu Ajansi .
Di Bahrain, pihak berkuasa berkata seorang maut dan beberapa lagi cedera selepas serangan Iran mengenai sebuah bangunan kediaman di ibu negara, Manama.
Konflik ini juga mencetuskan usaha pemindahan dan bantuan antarabangsa. China memaklumkan lebih 10,000 rakyatnya telah pulang dari UAE, Oman dan Arab Saudi susulan usaha evakuasi yang diselaras, lapor Xinhua.
Singapura menghantar sebuah pesawat tentera udara ke Riyadh untuk membawa pulang rakyatnya, manakala Malaysia melancarkan misi membawa pulang rakyatnya menggunakan sebuah pesawat Malaysia Airlines yang dicarter bagi membawa pulang kira-kira 200 rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara Asia Barat.
Azerbaijan pula menghantar hampir 30 tan bantuan kemanusiaan termasuk makanan dan ubat-ubatan ke Iran bagi membantu orang awam yang terkesan akibat konflik berterusan, lapor Agensi Berita Negara Azerbaijan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa serangan ke atas loji penapisan minyak dan infrastruktur lain boleh memburukkan kerosakan alam sekitar dan risiko kesihatan awam, ketika lebih 500,000 orang dilaporkan kehilangan tempat tinggal di Lubnan.
Meskipun konflik semakin memuncak, pasaran saham Asia kembali pulih selepas Presiden AS Donald Trump membayangkan konfrontasi dengan Iran mungkin menghampiri penghujungnya, menyaksikan harga minyak mentah Brent turun mendadak selepas sebelum ini melonjak melebihi US$100 setong.
© New Straits Times Press (M) Bhd




