KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh penyelarasan antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan serta perlindungan terhadap sektor strategik bagi memastikan negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ancaman luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam meneliti implikasi ancaman serangan hibrid, digital dan siber terhadap negara.
Katanya, mesyuarat itu turut meneliti persoalan sama ada ancaman serangan terhadap beberapa negara, khususnya Iran, akan melibatkan penggunaan nuklear serta kesan perkembangan politik Eropah terhadap sistem pentadbiran yang boleh memberi kesan kepada Malaysia.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Perbincangan turut memberi tumpuan kepada mekanisme sedia ada serta penyelarasan lebih rapi antara kementerian, agensi dan pasukan keselamatan.
“Petang ini, Ketua Setiausaha Negara akan mempengerusikan mesyuarat dengan semua jabatan yang berkenaan dan Gabenor Bank Negara akan mengadakan sidang khas dengan semua institusi kewangan dalam negara,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, kerajaan turut mengambil pengajaran daripada pendekatan EU Preparedness Union Strategy bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman yang melibatkan seluruh jentera kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Menurut beliau, lima langkah diberi penekanan dalam mesyuarat itu iaitu memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman dalam dan luar negara serta memperkukuh perlindungan terhadap infrastruktur dan sektor strategik.
“Dua lagi langkah ialah kesiapsiagaan rakyat dan masyarakat serta memperkukuh keupayaan agensi dan penggunaan teknologi.
“Ketiga, memperkukuh perlindungan terhadap infrastruktur dan sektor strategik negara. Maknanya termasuk tenaga, pengangkutan, kewangan, bekalan makanan,” katanya.
Menurut beliau, pengukuhan keupayaan agensi dan penggunaan teknologi turut diberi penekanan kerana ancaman yang dihadapi termasuk serangan siber.
Katanya, semua menteri, kementerian dan agensi dimintak terus menjalankan tanggungjawab serta memastikan penyelarasan berkesan dan badan di bawah pengawasan masing-masing berada dalam keadaan siap siaga, terutama pasukan keselamatan.
“Dalam pertemuan berkenaan, saya turut menerima jaminan daripada Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara,” katanya. -UTUSAN




