Negara Teluk mungkin semak semula pelaburan luar susulan konflik Asia Barat

Negara Teluk mungkin semak semula pelaburan luar susulan konflik Asia Barat

BEBERAPA negara Teluk dilapor sedang menilai sama ada perlu memperlahan atau menyemak semula pelaburan luar negara susulan perang membabitkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran yang mula memberi tekanan kepada ekonomi mereka.

Menurut Financial Times, negara – negara berkenaan sedang menilai impak kewangan akibat konflik berkenaan serta mempertimbangkan sama ada komitmen pelaburan besar, urus niaga perniagaan antarabangsa dan komitmen global lain perlu disemak semula sekiranya perang berlanjutan.

Turut dilaporkan, seorang pegawai negara Teluk yang tidak didedahkan identitinya memberitahu Financial Times bahawa semakan tersebut boleh memberi kesan kepada pelbagai aktiviti kewangan.

Antaranya termasuk komitmen pelaburan kepada kerajaan atau syarikat asing, perjanjian penajaan sukan, kontrak dengan perniagaan dan pelabur serta kemungkinan penjualan pegangan aset tertentu.

“Beberapa negara Teluk telah memulakan semakan dalaman bagi menentukan sama ada klausa force majeure boleh digunakan dalam kontrak sedia ada selain menilai semula komitmen pelaburan semasa dan masa depan bagi mengurangkan tekanan ekonomi yang dijangka akibat perang yang sedang berlaku,” kata pegawai berkenaan.

Tambahnya, semakan tersebut pada dasarnya merupakan langkah berjaga-jaga yang diambil kerajaan ketika mereka menilai kemungkinan kesan kewangan jangka panjang akibat konflik berkenaan.

“Keputusan untuk menyemak semula perbelanjaan dan pelaburan dibuat ketika kerajaan berdepan tekanan belanjawan yang semakin meningkat.

“Tekanan tersebut berpunca daripada beberapa faktor, antaranya pengurangan pendapatan daripada sektor tenaga akibat pengeluaran yang merosot atau kesukaran mengeksport minyak dan gas.

“Selain itu, terdapat juga kelembapan dalam aktiviti pelancongan dan penerbangan di rantau tersebut, di samping peningkatan perbelanjaan pertahanan yang berkait langsung dengan konflik yang berlaku,” katanya.

Dikatakan empat ekonomi yang dimaksudkan ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Qatar. Bagaimanapun, pegawai berkenaan enggan mendedahkan negara mana antara tiga tersebut yang terlibat dalam perbincangan tersebut.

Sementara itu, seorang penasihat kerajaan negara Teluk memberitahu Financial Times bahawa kemungkinan negara-negara kaya tersebut menyemak semula pelaburan mereka turut menarik perhatian di Washington.

Ini berikutan negara-negara Teluk mengurus antara dana kekayaan negara terbesar di dunia dan memainkan peranan penting dalam pasaran pelaburan global.

Tahun lalu, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar berikrar untuk melabur ratusan bilion dolar di AS selepas lawatan Presiden AS, Donald Trump melawat ke rantau berkenaan.

Pada masa sama, negara-negara ini juga merupakan penyokong utama acara sukan antarabangsa serta telah membelanjakan dana besar di peringkat domestik untuk membangunkan infrastruktur dan mengurangkan kebergantungan kepada minyak melalui usaha kepelbagaian ekonomi.

Financial Times berkata, sebarang keputusan mengurangkan atau menangguhkan pelaburan di AS atau negara Barat lain berpotensi meningkatkan tekanan ke atas Washington untuk mencari penyelesaian diplomatik bagi menamatkan perang.

Ringkasan AI

  • Beberapa negara Teluk sedang menilai semula pelaburan luar negara akibat tekanan ekonomi dari konflik melibatkan AS, Israel, dan Iran
  • Semakan meliputi komitmen pelaburan, urus niaga antarabangsa, dan aktiviti kewangan lain yang terjejas
  • Langkah berjaga-jaga ini diambil untuk mengurangkan tekanan ekonomi yang dijangka akibat perang berlanjutan
  • Penyemakan semula ini timbul dari faktor tekanan belanjawan seperti pengurangan pendapatan sektor tenaga dan kelembapan dalam aktiviti pelancongan serta penerbangan
  • Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, dan Qatar merupakan ekonomi utama yang terlibat, memainkan peranan penting dalam pasaran pelaburan global
Scroll to Top