am@hmetro.com.my
Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan akan akur sekiranya pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengadakan pilihan raya serentak bagi Persekutuan dan negeri.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, perkara itu perlu dibincang dan diputuskan terlebih dulu oleh semua pimpinan parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan kesan besar terhadap landskap politik negara.
Beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, sekiranya Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan secara serentak dan lebih awal daripada jangkaan, keputusan berkenaan perlu dimaklumkan segera supaya persediaan rapi dapat dilakukan.
“Saya harap perkara ini dapat dibincangkan bersama semua presiden parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya kita boleh mencapai kata putus bersama.
“Ia juga bagi memastikan keputusan itu tidak memberi kesan besar kepada politik tanah air kerana ada pihak yang mahu ia diadakan serentak dan ada yang tidak bersetuju.
“Sebaiknya ia dibincangkan terlebih dahulu sebelum dibawa kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan 2025 di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyatakan pendirian parti itu yang menyokong pelaksanaan pilihan raya serentak pada peringkat Persekutuan dan negeri sebagai langkah memastikan kecekapan dan kelancaran selain penjimatan kos pengurusan pilihan raya.
Pandangan Ahli Parlimen Seremban itu turut mendapat sokongan beberapa pemimpin khususnya dari AMANAH.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, setakat ini, beliau belum dipanggil oleh Perdana Menteri untuk membincangkan perkara terbabit, namun bersedia untuk memberikan pandangan.
“Cepat atau lambat, pilihan raya tetap akan diadakan dan saya sudah berbisik dengan Datuk Seri Jalaluddin Alias (Pengerusi UMNO Negeri Sembilan) agar lakukan sesuatu supaya kita terus berjaya di Negeri Sembilan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




