Negeri Sembilan kekal kuasa Piala Agong

Negeri Sembilan kekal kuasa Piala Agong

am@hmetro.com.my

Seremban: Pasukan bola keranjang lelaki Negeri Sembilan mencipta sejarah dengan merangkul kejuaraan kali ketujuh berturut-turut Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Agong 2024, semalam.

Pada pertembungan aksi final di Arena Larkin Johor Bahru, Negeri Sembilan menewaskan pasukan tuan rumah Johor dengan mata 85-57.

Pada perlawan itu, pemain Ting Chun Hong menonjolkan permainan memberangsangkan selepas menyumbangkan 27 mata, membuat 11 lantunan dan tiga ‘assist’ sekali gus memastikan pasukannya memenangi satu lagi kejuaraan.

Kapten pasukan, Wong Yi Hou berkata, pencapaian luar biasa itu mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai kuasa besar dalam sukan bola keranjang Malaysia yang mana tujuh gelaran dirangkul tidak pernah dilakarkan mana-mana pasukan sebelum ini.

“Kami amat berbesar hati untuk membawa pulang gelaran ketujuh berturut-turut ini, tetapi kemenangan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan tidak berbelah bahagi daripada penasihat pasukan yang juga Presiden Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock.

“Bimbingan dan kepercayaan beliau kepada kami memainkan peranan penting. Setiap tahun kami menghadapi cabaran baharu, tetapi dengan sokongan beliau, kami terus menjadi lebih kuat sebagai satu pasukan,” katanya dalam satu kenyataan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top