Meninggalkan kerja tetap untuk berniaga sendiri bukan keputusan kecil. Namun, itulah langkah besar yang diambil Zaniha Zainal, 27, dan suaminya, Sholehuddin Arif, 27.
Pada awal tahun ini, pasangan ini nekad berhenti kerja di Selangor dan memulakan perniagaan sabun ‘homemade’ serta kopi di Melaka.
Doa di Tanah Suci, mulakan langkah baru….

Hasrat untuk berniaga sebenarnya telah menjadi impian Zaniha sejak awal perkahwinan tetapi hanya terlaksana selepas pasangan ini berdoa bersungguh-sungguh ketika menunaikan umrah pada bulan Februari. Sekembali dari umrah, rezeki mereka seolah-olah dimudahkan, dan bisnes sabun mereka di TikTok semakin mendapat perhatian.
Alhamdulillah, balik dari tunaikan umrah tu segala urusan menjadi lancar dan kami berjaya memulakan perniagaan pertama bulan Mac dengan menjual sabun ‘homemade’ di TikTok.
Beberapa bulan berniaga, saya dan suami pun ambil keputusan untuk berhenti kerja dan berpindah ke Melaka memandangkan kami memang sudah ada rumah sendiri di sana.
Pengorbanan dan keluarga jadi inspirasi…

Bagi Zaniha, perniagaan sendiri memberikan masa yang lebih fleksibel bersama keluarga, yang banyak mendorong mereka untuk terus maju. Pasangan ini juga kini mengendalikan gerai kopi di Floating Market Melaka, meskipun pernah berdepan cabaran besar seperti ribut yang hampir menerbangkan khemah mereka. Video kejadian tersebut yang dimuat naik di TikTok menjadi tular dan menerima pujian netizen atas semangat mereka.
Saya bersyukur dapat pasangan yang sentiasa beri sokongan dan mempunyai minat sama untuk berniaga sendiri. Saya kongsi video tu untuk kenangan di mana kami baru mula berniaga secara fizikal.
Dari segi pendapatan, saya bersyukur rezeki kami bertambah dengan lebih satu sumber pendapatan. Berbeza dengan dulu, kami berdua hanya bergantung pada satu pendapatan semata-mata.
Nasihat saya, apabila kita nak buat sesuatu kena berdoa betul-betul dengan Allah sebab kalau Dia tak izinkan. Peluang depan mata sekali pun kita tetap tak akan nampak.- Katanya.
Lebih banyak rezeki dari pelbagai sumber…

Kini, dengan pendapatan daripada perniagaan yang semakin berkembang, Zaniha dan suami bersyukur atas rezeki yang lebih stabil dan pelbagai. Mereka merasakan bahawa doa, usaha, dan sokongan keluarga adalah kunci kejayaan dalam setiap langkah.
#OhmediaNasihat
Keberanian dan doa adalah asas kejayaan! Buat yang ingin berubah dan mencuba sesuatu yang baru, ingatlah bahawa rezeki datang dalam pelbagai cara. Beranilah melangkah, dan jangan lupa berdoa agar perjalanan dipermudahkan!
