am@hmetro.com.my
Tuaran: Lelaki yang dikehendaki kerana terbabit beberapa kes ditahan sepasukan polis di pusat komersil daerah ini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, suspek ditahan kira-kira 3 petang selepas polis berjaya mengesan kenderaan yang dinaiki suspek berhampiran pusat komersial itu.
“Pasukan serbuan bertindak menghampiri kenderaan suspek dan mendapati seorang lelaki di bahagian tempat duduk pemandu.
“Pihak polis menghampirinya dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sambil menunjukkan kad kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Noraidin berkata, menyedari kehadiran pihak polis, suspek bertindak mengundurkan kenderaan dipandunya dengan laju dan melanggar kenderaan polis yang diletakkan di belakang kenderaan suspek.
“Suspek melanggar kenderaan polis berulang kali untuk melarikan diri.
“Akibatnya, polis terpaksa memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan di sebelah kiri untuk melakukan tangkapan,” katanya yang menambah turut berlaku pergelutan ketika proses tangkapan dijalankan.
“Pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum ketika tangkapan namun tiada sebarang tembakan dilepaskan oleh pihak polis.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dan membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




