Nelayan asing ambil kesempatan MTL kaut hasil laut negara

Nelayan asing ambil kesempatan MTL kaut hasil laut negara

nfazlina@nstp.com.my

Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan tidak menolak kemungkinan pencerobohan nelayan asing di perairan negara semakin aktif sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarahnya, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, ia berikutan dalam tempoh berkenaan nelayan tempatan tidak turun ke laut.

“Berdasarkan pemantauan kita sebelum ini, ketika waktu MTL mereka akan mengambil kesempatan untuk menceroboh bagi mengaut hasil laut.

“Mereka sanggup berada di lautan dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, malah pada Januari lalu, bot nelayan asing Vietnam karam dan kita berjaya menyelamatkan nelayan mereka yang sedang berpaut pada tong ikan.

“Justeru, MTL kali ini, kita pertingkat kawalan di laut dan sebanyak empat pasukan yang diatur gerak ke laut untuk pemantauan secara berterusan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan nelayan tempatan supaya berhati-hati sekiranya turun ke laut ketika musim ini.

“Dalam usaha menyampaikan peringatan kepada nelayan, kita mengadakan pertemuan dengan komuniti nelayan supaya mereka memakai jaket keselamatan ketika berada di laut.

“Pada masa sama, kita juga mengunjungi resort atau chalet yang berdekatan pantai supaya tidak benarkan mandi di laut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Sepanjang minggu ini kita dapati kelajuan angin sekitar 30 hingga 40 kilometer (km) sejam dan ketinggian ombak mencapai 1.5 hingga 2.5 meter sepanjang minggu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top