am@hmetro.com.my
Langkawi: Pengusaha feri Langkawi menggesa komuniti nelayan menghentikan aktiviti memukat di alur pelayaran utama kerana tindakan itu boleh mengancam nyawa ratusan penumpang feri.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Dr Baharin Baharom berkata, gesaan itu susulan kejadian Feri Ekspres Bahagia 98 membawa 251 penumpang terkandas berhampiran Kuala Perlis, Rabu lalu.
“Berdasarkan pemakluman oleh Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara, kejadian jam 10.35 pagi itu dipercayai berpunca daripada aktiviti memukat dua bot nelayan di tengah alur pelayaran utama.
“Keadaan itu memaksa feri memperlahankan kelajuan sebelum dihanyutkan arus dan angin ke beting pasir sehingga enjin terhenti, menyebabkan penumpang terpaksa dipindahkan menggunakan bot kecil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Baharin berkata, pihaknya menghormati komuniti nelayan yang mencari rezeki di laut, namun keselamatan ratusan penumpang dan anak kapal tidak boleh dikompromi akibat halangan di laluan pelayaran.
Beliau berkata, kejadian seumpama itu turut berisiko menjejaskan keyakinan pelancong terhadap keselamatan pengangkutan laut, selain mengganggu jadual perjalanan dan memberi kesan kepada ekonomi serta imej pelancongan Langkawi.
Sehubungan itu, katanya, kerjasama Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Perikanan dan persatuan nelayan perlu diperkukuh bagi meningkatkan pemantauan serta memastikan laluan feri bebas daripada halangan.
“Kami menghormati nelayan yang mencari rezeki di laut, namun pada masa sama memikul amanah membawa ratusan nyawa dalam setiap perjalanan.
“Keselamatan pelayaran adalah tanggungjawab bersama seluruh komuniti maritim,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




